Lebih 100 ahli Perkobf Malaysia mengadakan perhimpunan aman di Kementerian Kewangan.
Lebih 100 ahli Perkobf Malaysia mengadakan perhimpunan aman di Kementerian Kewangan hari ini.

PUTRAJAYA – Satu memorandum diserahkan kepada Kementerian Kewangan hari ini oleh Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F (Perkobf Malaysia) menuntut campur tangan menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz.

Menurut Presiden Perkobf Malaysia, Tukiman Radion memorandum itu bagi menuntut Kementerian Kewangan mengembalikan pengurusan Kelas F (G1 Bumiputera) kepada Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) serta mahu kerajaan menangani kenaikan harga barang binaan.

“Yang paling kami tak mahu pihak CIBD memaksa kontraktor G1 bumiputera yang sudah had melebihi 20 tahun dalam tempoh enam tahun mereka akan paksa kami untuk naik gred. Sama ada suka atau tidak kena naik gred seandainya tidak naik gred taraf bumiputera kami akan ditarik balik.

“Maknanya, kami tidak ada lagi keistimewaan sebagai kontraktor kecil bumiputera. Bila kita tidak ada taraf bumiputera ini, kita tidak boleh ambik projek kerajaan lagi.

“Sebagaimana kita tahu projek swaata amat sukar kita peroleh dan ubah suai rumah juga dikuasai oleh warga asing jadi kita dapat hanya projek kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan himpunan aman ‘Menuntut Kementerian Kewangan Mengembalikan Pengurusan Kelas F (G1 Bumiputera) Kepada PKK Serta Kenaikan Harga Barang Binaan di perkarangan Kementerian Kewangan pagi tadi.

Memorandum enam muka surat yang rata-ratanya menuntut agar kontraktor kelas G1 bumiputera ini dikendalikan dengan PKK semula di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan.

“Bila taraf bumiputera itu tarik balik kita sudah tidak ada peluang untuk buat projek kerajaan dan mereka memaksa kita naik gred.

“Jadi di mana kami nak cari makan? inilah kerja-kerja kami. Kebanyakan kami sudah berusia 50 tahun ke atas. Siapa nak ambil kami bekerja? Jadi kami merayu kepada kerajaan perkara ini jangan dilakukan.

“Kita telah serahkan memorandum dan Menteri Kewangan tidak ada di pejabat dan kita telah serahkan ke pegawai di sektor korporat dan berjanji akan menyerahkan kepada menteri.

“Kami harapkan kerajaan dapat berbuat sesuatu bagi membahagiakan kontraktor kecil. Itu harapan kami,” katanya lagi.

Bagi Naib Presiden Perkobf Malaysia, Sazali Mohamad Yasin, memorandum itu dihantar bagi memaklumkan kedudukan sebenar permasalahan yang dialami oleh kontraktor kelas F seluruh Malaysia.

Memorandum itu bertujuan untuk memaklumkan kenaikan harga bahan mentah yang sangat ketara sehingga menjejaskan ekonomi dan pendapatan kontraktor kecil bumiputera.

“Kami mohon pertimbangan dan keputusan sewajarnya daripada Menteri Kewangan mengenai isu ini. Memorandum ini untuk memperkasakan kontraktor kelaa F yang bersesuaian dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 153.

“Kami sangat tertekan dengan permasalahan hari ini yang mana rata-rata memberikan sokongan tak berbelah bahagi lagi tentang permasalahan kami itu sebabnya kami berkumpul dan datang ke Kementerian Kewangan untuk memastikan kerajaan membela kami,” kata Sazali.

Dalam pada itu, Tukiman berkata, sekiranya memorandum itu tidak mendapat sambutan daripada Tengku Zafrul, pihaknya mengugut akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi mendapatkan bantuan.

“Kami akan cuba langkah seterusnya mungkin kami akan mencari kaedah yang lebih baik seandainya memorandum kami tidak mendapat layanan yang sewajarnya.

“Mungkin kita akan pergi ke kementerian lain untuk mengadu nasib dan mungkin bertemu Perdana Menteri dan ke mana-mana yang kita fikirkan sesuai,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast