Bekas Pengerusi Tabung Haji yang juga Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim hadir pada sebutan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur baru-baru ini.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini menangguhkan keputusan rayuan bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim membatalkan 13 tuduhan menerima rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya.

Mahkamah telah menetapkan 25 Ogos depan bagi keputusan kes rasuah berprofil tinggi itu.

Sepatutnya hari ini, panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said bersama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali menyampaikan keputusan mereka terhadap kes berkenaan.

Menurut peguam mewakili perayu, Amer Hamzah Arsad, pihaknya memohon penangguhan bagi membolehkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap penemuan fakta serta bukti baharu kes itu.

Difahamkan, bahan bukti itu yang diserahkan oleh pihaknya kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Pihak Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sedang meneliti perkara berkenaan daripada aspek tertentu.

Amer Hamzah juga memberitahu, pada 27 Jun lepas, pihaknya sudah menerima maklum balas daripada SPRM berkaitan representasi dan surat sokongan kes itu yang diserahkan oleh kami kepada AGC.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya, Aslinda Ahad memberitahu mahkamah, pihaknya diberi arahan supaya tidak membantah permohonan pihak pembelaan.

Abdul Azeez yang juga Ahli Parlimen Baling menghadapi tiga tuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah.

Juga terdapat 10 pertuduhan pengubahan wang haram mencecah jutaan ringgit.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 serta dibaca bersama seksyen 16(a)(A) dan seksyen 24(1) akta sama yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Keputusan permohonan batal kes Azeez Rahim 1 Julai