Ahmad Dasuki bersama Penolong Pesuruhjaya, Bahagian Pemeriksaan dan Perundangan SPRM dan Pengurusan PTPTN, Mohd Syahrul Ridzuan Yahaya, menunjukkan Buku Pelan Antirasuah Organisasi 2022-2024 semasa majlis pelancaran di Menara PTPTN, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menggariskan tiga bidang keutamaan dalam menangani isu salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah menerusi Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) yang dilancarkan hari ini.

Ketua Eksekutifnya, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, ia turut meliputi 12 pelan tindakan dengan setiap pelan yang ditetapkan telah mengambil kira keperluan kepada pemantapan integriti, pengukuhan governans dan pemerkasaan pencegahan rasuah.

Katanya, bagi menjayakan pelaksanaan OACP PTPTN, aspek pemantauan dan penilaian akan dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pelaksanaan dan Pemantauan OACP PTPTN bagi mengawasi prestasi pelaksanaannya sehingga tahun 2024.

“Usaha penambahbaikan dalam pengurusan sumber manusia, pentadbiran, kewangan, penggunaan sistem teknologi secara menyeluruh, pemantauan dan pemantapan proses kerja akan terus diberi perhatian serius.

“PTPTN berharap agar OACP yang dibangunkan bagi jangka masa tiga tahun ini dapat dihayati dan dijadikan rujukan komprehensif dan inklusif kepada semua warga kerja PTPTN.

“Ia sekaligus dapat meningkatkan lagi integriti, kecekapan dan seterusnya menambah kepercayaan serta keyakinan pelanggan terhadap perkhidmatan yang diberikan oleh PTPTN,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Dasuki, OACP PTPTN 2022-2024 yang dibangunkan itu merupakan dokumen dasar antirasuah utama di peringkat organisasi yang memaparkan kesungguhan dan bukti komitmen PTPTN dalam memberikan perkhidmatan yang telus dan berkualiti.

Ujarnya, OACP PTPTN dilancarkan selaras dengan Inisiatif 2.1.5. Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 di bawah Strategi ke-2 iaitu Memperkukuh Kecekapan Penyampaian Perkhidmatan dengan mewajibkan sektor awam untuk membangunkan Pelan Antirasuah di peringkat organisasi masing-masing.

Jelasnya, dalam memastikan keberkesanan dan kejayaan OACP PTPTN, satu visi telah ditetapkan iaitu Menjadi Peneraju Tabung Pendidikan Tinggi Negara Yang Berintegriti Dan Bebas Rasuah.

“Alhamdulillah, pada hari ini, PTPTN telah melakar sejarah yang sangat bermakna dengan kejayaan membangunkan OACP bagi tahun 2022 hingga 2024. Sesungguhnya, pelan ini telah dirangka secara komprehensif dengan mengambil kira isu dan cabaran yang dihadapi oleh PTPTN.

“OACP PTPTN bakal menjadi panduan kepada seluruh warga PTPTN bagi mendukung aspirasi nasional dalam usaha pemantapan governans, integriti dan antirasuah.

“Pelancaran pelan ini juga merupakan kesinambungan daripada pelancaran OACP KPT yang telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar, pada 1 Jun yang lalu,” tambahnya. – MalaysiaGazette