Ahmad Zulqarnain merasmikan Skuad Singgah Labur pada acara pelancarannya.

KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) melancarkan program Singgah Labur yang akan bertemu dengan orang ramai di 158 lokasi seluruh negara.

Program Singgah Labur ini akan bermula di negeri Perak pada 13 Julai 2022 dan berakhir di negeri Selangor pada 30 September 2022. Skuad ini akan berada di beberapa lokasi terpilih seperti cawangan ejen dan kawasan tumpuan awam di setiap negeri.

Sepanjang program ini, pelbagai kemudahan disediakan untuk pelabur ASNB untuk membuat pelbagai urus niaga ASNB seperti pendaftaran akaun unit amanah dan membuat pelaburan tambahan menerusi kiosk serta mendapatkan khidmat nasihat perancangan pelaburan daripada pegawai ASNB yang bertauliah.

Program Singgah Labur telah dilancarkan oleh Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin dan disaksikan oleh pengurusan kanan ASNB di ibu pejabat PNB di Kuala Lumpur.

Mohammad Hussin berkata program Singgah Labur memberi peluang kepada ASNB mendekati pelabur-pelaburnya setelah lebih dua tahun aktiviti on-ground terhenti lebih dua tahun berikutan pandemik Covid-19.

”Dengan adanya skuad Singgah Labur, orang ramai boleh mengambil peluang untuk bertemu dengan pasukan ASNB bagi mendapatkan khidmat nasihat pelaburan terutamanya berkaitan aplikasi mudah alih myASNB dan maklumat tentang perancangan pelaburan secara terus daripada pegawai kami.”

Katanya lagi, rangkaian cawangan ejen yang luas membolehkan pelabur membuat urus niaga dengan lebih mudah.

Selain itu, ASNB turut menganjurkan program bual bicara iaitu Bicara Wakaf di masjid terpilih di11 negeri untuk menyampaikan perkongsian ilmu berkaitan wakaf dan perancangan pewarisan dengan menampilkan penceramah-penceramah terkenal, antaranya ialah Datuk Nooh Gadot, Ustaz Datuk Badli Shah Haji Alauddin, Ustaz Md Ghazali Ibrahim dan ramai lagi. – MalaysiaGazette