Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak wajar menempelak desakan berkaitan penarikan semula ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang dipilih sebagai Duta Malaysia ke Indonesia.

Ahli Parlimen Sepang, Mohamad Hanipa Maidin berkata, desakan itu tidak lain berkaitan integriti Tajuddin yang dilihat tidak layak menjawat jawatan itu.

Menurutnya, Ismail Sabri yang juga merupakan Naib Presiden UMNO harus berlapang dada dan wajar memandang serta mempertimbangkan apakah maksud sebenar desakan tersebut.

“UMNO perlu menerima kelemahan parti mereka dan bukannya mengheret institusi Yang di-Pertuan Agong (YDPA) sekali, lebih-lebih lagi terhadap isu membabitkan Tajuddin ini.

“Beliau juga tidak wajar mengaitkan desakan tersebut dan menganggap ia seolah-olah mempersoalkan kuasa YDPA.

“Apa yang dituturkan oleh Ismail Sabri itu agak biasa kita dengar dan ianya bukan sangat logika baru. Ia ibarat membaca skrip lama cuma penuturnya sahaja berbeza,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamed Hanipa Maidin.

Hanipa berkata, bantahan ke atas Tajuddin itu amat bermerit dan disuarakan bukan atas dasar emosi semata-mata.

“Masyarakat serta beberapa mantan duta sendiri turut membantah pelantikan itu.

“Sebelum ini kerajaan sendiri menamatkan Tajuddin dalam jawatan utama di sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) ekoran kemarahan masyarakat terhadap kenyataannya atas tragedi berdarah di negara ini.

“Tidak hanya itu, terbaharu UMNO turut tidak selesa untuk memastikan Tajuddin tidak terus berada dalam kepimpinan tertingi parti itu,” katanya.

Jelas Hanipa, berdasarkan semua alasan tersebut, kerajaan wajar mempertimbangkan semula pelantikan itu.

“Tidak timbul isu itu sebenarnya, jika ia adalah bantahan bermerit ke atas isu pelantikan yang melibatkan isu perkenan YDPA sebagai tindakan seolah-olah ingin menidakkan kuasa perkenan YDPA.

“Ia hanya memburukkan lagi imej negara ini yang mana ia telah sedia buruk khususnya dalam isu pelantikan Tajuddin,” katanya.

Baru-baru ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan, Tajuddin telah dilucutkan jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi parti itu.

Susulan itu, Tajuddin menerusi satu sidang akhbar telah membuat beberapa pendedahan termasuk kelemahan pentadbiran Ahmad Zahid sebagai presiden UMNO.

Kemelut dalaman UMNO itu dilihat kelemahan parti itu yang mula mendapat sokongan semula rakyat selepas Pilihan Raya Umum ke-14. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast