Seorang kontraktor maut selepas kereta Perodua Kancil dipandu terbabas dan terbalik selepas merempuh sebuah kenderaan lain di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah- Jasin (AMJ) berhampiran Melaka Sentral, Melaka, 1.45 tengah hari tadi.

MELAKA – Seorang kontraktor maut apabila kereta dipandu terbalik selepas merempuh sebuah kenderaan lain di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah- Jasin (AMJ) berhampiran Melaka Sentral, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata, dalam kejadian jam 1.45 petang itu, mangsa maut dikenali Nordin Mohamed Yusop, 39 yang memandu kereta jenis Perodua Kancil.

Menurutnya, siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa memandu di lorong kanan Lebuh AMJ dari arah lampu isyarat Bukit Palah menghala ke lampu isyarat Melaka Sentral.

Christopher Patit

“Semasa melalui kawasan di hadapan sebuah gedung pakaian, kenderaan mangsa telah hilang kawalan dan merempuh belakang sebuah Mercedes Benz yang sedang berhenti di lampu isyarat menyebabkan Perodua Kancil itu terbalik.

“Rempuhan kuat itu turut menyebabkan Mercedes berkenaan telah melanggar dua buah kenderaan lain di hadapannya iaitu sebuah Perodua Axia dan Alza,” katanya.

Seorang kontraktor maut selepas kereta Perodua Kancil dipandu terbabas dan terbalik selepas merempuh sebuah kenderaan lain di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah- Jasin (AMJ) berhampiran Melaka Sentral, Melaka, 1.45 tengah hari tadi.

Tambahnya, akibat rempuhan kuat itu, pemandu Perodua Kancil yang merupakan seorang kontraktor maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan manakala pemandu tiga lagi kenderaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Christopher berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette