Seorang lelaki warga asing ditemui mati disyaki dibunuh dalam satu pergaduhan di hadapan sebuah rumah di Taman Keramat Hulu Kelang malam tadi.

AMPANG – Seorang lelaki warga asing maut disyaki dibunuh selepas terlibat dalam pergaduhan yang berlaku di hadapan sebuah rumah yang terletak di Jalan AU2A/14 Taman Keramat Hulu Kelang di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, polis yang bergegas di tempat kejadian menemui seorang lelaki dipercayai warga asing ditemui mati terbaring dibawah dalam keadaan berlumuran darah.

“Mangsa disahkan telah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan lewat malam tadi.

Tambah beliau, butiran lengkap mengenai mangsa masih dalam siasatan polis.

Menurutnya, siasatan masih diteruskan di tempat kejadian dan motif pergaduhan dan kematian masih belum dikenalpasti.

“Orang ramai yang mengetahui atau mempunyai maklumat terperinci mengenai kejadian ini diminta tampil memberi kerjasama menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan kes ini,” tegas beliau.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.-MalaysiaGazette