KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan dalam cadangan penggabungan antara DiGi.Com Bhd (Digi) dan Celcom Axiata Bhd (Celcom).

Ini kerana, aktiviti perkhidmatan telekomunikasi adalah di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), kata Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail.

Malah, menurutnya, SKMM juga mengawal selia penggabungan dalam sektor telekomunikasi dan perkara-perkara persaingan yang berkaitan melalui peruntukan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Walaupun Akta Persaingan 2010 terpakai kepada mana-mana aktiviti komersial di Malaysia, akta yang sama secara jelasnya menetapkan ia tidak terpakai kepada aktiviti komersial di bawah empat sektor, termasuklah sektor telekomunikasi dan multi media,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sehubungan itu, MyCC menyerahkan perkara berkaitan cadangan penggabungan tersebut kepada kebijaksanaan SKMM dan yakin penilaian dan penelitian yang komprehensif telah dilaksanakan oleh suruhanjaya sebelum mencapai keputusannya.

“Langkah pindaan Akta Persaingan 2010 oleh MyCC yang akan memperkenalkan rejim kawalan penggabungan di Malaysia sedang berjalan dengan lancar. Sekali lagi, perlu ditekankan bahawa rejim penggabungan ini akan mengecualikan, antara lain, sektor di bawah bidang kuasa SKMM.

”Kami berharap keputusan oleh MyCC mengenai permohonan penggabungan pada masa hadapan akan menjadi rujukan dan panduan utama kepada semua pihak berkuasa lain untuk memastikan landskap dasar yang konsisten dan teguh yang akan mewujudkan kepastian dalam pasaran,” kata Iskandar. – MalaysiaGazette