Ibu Pejabat Polis Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menafikan dakwaan beberapa petugas media yang terlibat dalam penugasan di Pantai Timur telah dikasari oleh anggota Unit Tindakan Khas (UTK).

Setiausaha PDRM, Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata demikian merujuk kenyataan media yang dikeluarkan oleh Gerakan Media Merdeka (Geramm) berhubung satu insiden.

Kata beliau, kenyataan Geramm mendakwa tiga pengamal media telah dikasari oleh individu yang dikatakan ahli UTK ketika sebuah majlis berlangsung di Tanah Merah, Kelantan semalam.

“PDRM bagaimanapun ingin mengesahkan bahawa tiada petugas UTK yang terlibat dalam kejadian berkenaan namun siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu-individu yang
terlibat dalam kejadian tersebut,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan di Bukit Aman hari ini.

Tambah Noorsiah, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil sekiranya siasatan polis mengesahkan terdapat sebarang bentuk pelanggaran kod etika dan tatasusila oleh mana-mana petugas keselamatan semasa menjalankan penugasan di majlis tersebut.

Katanya, PDRM sentiasa menghargai pengamal-pengamal media dan menghormati peranan mereka dalam menyebar luas informasi kepada masyarakat, khususnya bagi membantu memerangi jenayah.

“Hubungan erat pengamal media dan PDRM yang terjalin kukuh selama ini akan dikekalkan agar masyarakat mendapat maklumat yang tepat melalui sumber yang sahih,” tegasnya.-MalaysiaGazette