Nga Kor Ming

TAIPING – Ahli Parlimen Taiping menyatakan bantahannya terhadap pelaksanaan kerja empat hari seminggu untuk penjawat awam kerana tindakan itu dikhuatiri akan menyebabkan Malaysia menjadi negara malas.

Beliau berkata, Malaysia berada di tangga tiga teratas dari segi nisbah penjawat awam berbanding populasi dan berada di tangga 10 teratas dari segi jumlah cuti awam.

Katanya, dalam keadaan inflasi yang teruk, kerajaan perlu menumpu perhatian untuk meningkatkan produktiviti dan menambah bekalan, bukannya menubuhkan jawatankuasa untuk mengkaji pengurangan kerja penjawat awam.

“Keadaan ini menunjukkan ciri malas dan prestasi kerajaan adalah mengecewakan,” katanya dipetik China Press selepas menghadiri satu aktiviti penyerahan sumbangan di Aulong, Perak.

Kata Kor Ming, dengan saiz 1.5 juta, seorang daripada 18 orang di Malaysia merupakan penjawat awam.

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) perlu memikirkan cara untuk meningkatkan prestasi mereka dan menaikkan produktiviti kerja.

“Dengan pemulihan ekonomi sedang berlaku, kerajaan perlu bekerja keras dan memecut, bukannya cuba menyemai budaya malas,” katanya. – MalaysiaGazette