Pasukan khas Jihad Tangani Inflasi yang ditubuhkan kerajaan harus lihat segera kepada realiti kegelisahan rakyat.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pasukan khas Jihad Tangani Inflasi yang ditubuhkan kerajaan harus lihat segera kepada realiti kegelisahan rakyat.

Penyelesaian isu inflasi harus bersifat makro bukannya hanya setakat idea mengadakan karnival jualan murah yang sangat bersifat lokal dan tidak mencapai matlamat secara konstruktif, kata Pengarah Komunikasi Pergerakan Pemuda UMNO, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri.

“Menantikan cadangan jawatankuasa khas itu serta menantikan tindakan dari cadangan jawatankuasa itu dibimbangi menjadikan orang ramai semakin gelisah. Sebelum gelisah menjadi amarah diharap kerajaan lebih agresif bertindak membantu rakyat yang sudah kering poket,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Pengarah Komunikasi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri

Menurut Syed Mohd Johan Rizal, pihaknya terganggu dengan laporan berita orang ramai sukar mendapat minyak masak paket, sementara minyak masak botol 5 kilogram telah meningkat harga hampir RM50 satu botol.

“Tambah kesal apabila ada timbalan menteri berkata kenaikan harga barang tidak menjejaskan ekonomi rakyat dan tidak membebankan. Sangat tidak empati kepada rakyat kenyataan itu, seolah beliau tidak jejak di bumi Malaysia serta tidak melambangkan pemimpin berjuang untuk orang ramai.

“Kami memahami kenaikan harga minyak masak botol itu berlaku kerana tiada lagi subsidi dan kenaikan harga kelapa sawit di pasaran. Namun harus disedari minyak masak botol itu banyak digunakan golongan M40, mereka akan terkesan dengan kenaikan itu,” katanya.

Ia kata Syed Mohd Johan, pasti berlaku rantaian kenaikan harga barangan makanan selepas harga barangan mentah yang lain dikhuatiri akan naik juga sedikit masa lagi.

“Amat membimbangkan sekirang permulaan Julai ini menjadi bulan permulaan “pesta naik harga” yang akan menjejaskan ekonomi orang ramai,” katanya.

Sehubungan itu Pemuda UMNO mendesak mekanisme baharu mengawal kenaikan melampau harga, supaya poket orang ramai jangan koyak.

“Tampilkan dengan segera tindakan proaktif bagi menenangkan pembeli. Jangan pula ada yang mencuit kebijaksanaan orang ramai supaya beli sahaja minyak paket apabila minya botol mahal, sedangkan minyak paket sendiri susah didapati,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast