Fahmi Bazlan

SHAH ALAM – Parti Berjasa mengintai peluang untuk bertanding kerusi Parlimen Shah Alam pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU- 15).

Perkara itu dinyatakan Yang Dipertuanya, Fahmi Bazlan Muda, yang melihat kawasan itu berpotensi besar menjadi pilihan parti sebagai kerusi utama untuk ditandingi.

Kata beliau, parti itu mula bertapak di Shah Alam pada Januari 2021 berikutan sambutan masyarakat yang mempunyai kira-kira 75 peratus penduduk Melayu.

“Yang pastinya Parlimen Shah Alam adalah sasaran kita kali ini kerana Berjasa sudah mendapat tempat dalam kalangan ahli dan penduduk.

“Selain itu, dengan peratusan populasi Melayu yang tinggi, kita yakin rakyat di sini mampu membuat keputusan bijak,” katanya kepada media pada majlis Kendurian Shah Alam semalam.

Menurut Fahmi Bazlan, selain itu, Berjasa Shah Alam akan menganjurkan beberapa lagi program melibatkan kebersamaan anggota parti dengan masyarakat ke arah menuju PRU-15.

Parlimen itu mempunyai dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kota Anggerik dan Batu Tiga.

Katanya, DUN Kota Anggerik terdiri dari kalangan T20 dan M40, manakala DUN Batu Tiga kebanyakannya masyarakat B40 dan M40.

“Walaupun Shah Alam mempunyai penduduk sangat ramai dan kawasannya yang membangun tetapi dari segi infrastruktur banyak perlu ditambah baik.

“Paling penting, isu banjir yang berlaku di Shah Alam adalah berpunca daripada kegagalan penyelenggaraan yang tidak berlaku dengan skala teratur.

“Kita harap selepas ini kita akan bangkitkan dari semasa ke semasa untuk membuktikan kerajaan negeri memberikan tumpuan lebih besar kepada isu ini,” katanya.

Katanya, ini bagi memastikan sebelum tiba musim tengkujuh Disember ini, semua longkang dan masalah yang menyebabkan banjir dapat diselenggara dengan baik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast