Antara kenderaan yang disita dalam Operasi Samseng Jalanan di sekitar bandar Kuantan awal pagi tadi.- Gambar Trafik Kuantan.

KUANTAN –  Ada segelintir pemandu sanggup meninggalkan kenderaan mereka dan melarikan diri daripada ditahan polis dalam Operasi Samseng Jalanan sekitar daerah ini awal pagi tadi.

Justeru anggota pois Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Kuantan terpaksa mengambil inisiatif untuk menunda kenderaan tersebut untuk tindakan selanjutnya.

“Semasa operasi dijalankan, ada segelintir pemandu yang telah melarikan diri dengan meninggalkan kenderaan di lokasi berkumpul,” kata BSPTD Kuantan dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 78 saman telah dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan dalam operasi yang sama  dijalankan malam semalam sehingga pukul 6 pagi tadi di sekitar Kuantan.

Dalam operasi itu, sebanyak 14 kenderaan juga telah disita kerana didapati mengubah suai struktur kenderaan tanpa kebenaran selain tidak mempunyai lesen memandu dan cukai tamat tempoh.

Seramai tiga pegawai dan 25 anggota dari BSPTD Kuantan dan RO JSPT Bukit Aman terlibat dalam operasi yang dijalankan bermula jam 12 tengah malam itu.

Kesemua kenderaan dibawa ke Balai Polis Trafik Kuantan untuk tindakan selanjutnya mengikut Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 – MalaysiaGazette