Najib Razak

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak perlu melayan permintaan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya menambah jawatan Timbalan Perdana Menteri dalam Kabinet Perikatan Nasional (PN).

Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, ketika ini tidak ada keperluan untuk kerajaan menambah jumlah anggota dalam Kabinet.

“Adakah prioriti negara ketika ini untuk lantik Timbalan Perdana Menteri, menteri baru, pelbagai jawatan baharu serta menubuhkan banyak lagi majlis-majlis dan jawatankuasa?

“Sedangkan Pilihan Raya Umum (PRU) semakin dekat? Paling lama pun kurang setahun lagi.

“Saya faham kenapa dia (Muhyiddin) terdesak sehingga tahap ini,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Beliau mengulas laporan media berhubung pertemuan Muhyiddin yang merupakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dengan Perdana Menteri untuk mengutarakan beberapa perkara penting termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Muhyiddin, dilaporkan berkata, pertemuan itu telah diadakan beberapa hari lalu supaya perjanjian PN dengan Perdana Menteri sebelum ini, dapat dipertimbangkan.

“Saya telah berjumpa dengan Perdana Menteri beberapa hari yang lepas di mana saya telah mengutarakan beberapa perkara penting termasuk soal pelantikan dalam kerajaan, bukan sahaja mengisi kekosongan, tetapi termasuk pelantikan-pelantikan baharu.

“Kita tidak minta lebih daripada (perjanjian) itu, tetapi hanya soal pelantikan Timbalan Perdana Menteri dan menteri serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan-badan berkanun serta peruntukan kerajaan,” kata Muhyiddin.

Menurut Najib, permintaan itu akan dijadikan ‘gula-gula’ oleh Muhyiddin untuk mengelak lagi ramai pemimpin Bersatu lompat keluar partinya seperti yang sedang berlaku sejak awal tahun ini.

Beliau berharap kerajaan tidak melayani permintaan itu, sebaliknya fokus kepada usaha untuk pemulihan ekonomi dan mengawal inflasi.

“Ingat, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Bukan jawatan didahulukan, berlambak majlis-majlis ditubuhkan,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tidak perlu tambah anggota Kabinet, cukup yang sedia ada – Asyraf