Home Nasional 12 individu didenda RM3,000 mengaku salah tawar pinjaman tidak wujud

12 individu didenda RM3,000 mengaku salah tawar pinjaman tidak wujud

BUKIT MERTAJAM – Seramai 12 individu termasuk tiga wanita didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana menawarkan pinjaman tidak wujud secara atas talian yang mengakibatkan kerugian RM1.94 juta.

Majistret, Mohd Harith Mohd Mazlan mengenakan denda itu ke atas Foo Shi Jie, 19; Muhammad Syafiq Aiman Mohd Sofian, 19; Nornajihah Sutiman, 19; Chan Zi Quan, 21; Ryman Shah Razes, 21; Ng Zi Xuan, 21.

Serta Muhammad Faisal Zainal Akbar, 22; Tan Chia Yee, 22; Ainul Taherah Johari, 22; Low Jia Chun, 22; Muhammad Hafiz Shamsul, 26; Muhammad Norzulhilme Sumari, 29, selepas kesemua mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa bersama-sama pihak kepada satu pakat jahat jenayah dengan tujuan melakukan jenayah tersebut bersetuju untuk melakukan perbuatan yang salah di sisi undang-undang iaitu menawarkan pinjaman tidak wujud.

Kesemua mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 15 Jun lalu jam 12.45 tengah hari di alamat Kondominium BM City, Jalan Perda dalam daerah Seberang Perai Tengah.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 120B (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali manakala kesemua 12 tertuduh diwakili peguam, Benjamin Tan Yi Bin.

Semasa prosiding, Mohammad Syafiq Nasrullah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana kesan kesalahan membabitkan orang awam.

Kesemua mereka didenda RM3,000 dan jika gagal membayarkan akan dipenjara enam bulan.

Bagaimanapun, Benjamin memohon meringgankan hukuman susulan 19 hari kesemua tertuduh berada dalam tahanan lokap yang boleh dianggapkan sebagai satu hukuman selain ini merupakan kesalahan pertama mereka.

Selain itu, Benjamin turut mendakwa rata-rata anak guamnya penganggur disebabkan pandemik Covid-19 dan ada antara mereka merupakan pelajar kolej serta pekerja kilang yang berpendapatan RM1,500.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,000 seorang terhadap semua tertuduh dan jika gagal membayarnya, akan dipenjara selama enam bulan.

ARTIKEL BERKAITAN 

13 ditahan, sindiket pinjaman tidak wujud dibongkar

Kesemua tertuduh membayar denda. – MalaysiaGazette