Polis SPT bongkar sindiket pinjaman tidak wujud yang menjadikan kondominium mewah sebagai pusat operasi di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

BUKIT MERTAJAM – Taktik sindiket pinjaman tidak wujud menjadikan unit kondominium berpengawal sebagai pusat panggilan bagi memperdayakan mangsa dibongkar pihak polis hari ini.

Serbuan dilakukan sepasukan polis dari Bahagain Siasatan Jenayah Ibua Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) yang diketuai Deputi Superintendan Raja Munawir Shah Raja Harun jam 2 petang di sebuah kondominium mewah di Perda di sini, turut membawa kepada tangkapan 13 individu yang berusia lingkungan 19 hingga 30 tahun.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Superintendan Mohd Nor Daud berkata, pihaknya menerima maklumat bahawa terdapat kegiatan sindiket judi online di lokasi tersebut.

Mohd Nor.

Jelas beliau, bagaimanapun, sebaik serbuan dilakukan pihaknya mendapati kesemua 13 suspek yang terdiri daripada sembilan lelaki dan empat perempuan itu merupakan sindiket pinjaman tidak wujud.

“Hasil siasatan mendapati sindiket itu bergerak aktif sejak tiga minggu lalu dengan mengutip yuran pemerosesan daripada mangsa yang ditawarkan pinjaman tidak wujud.

“Siasatan juga mendapati sindiket sudah mengaut untung ratusan ribu ringgit sejak beroperasi.

Kesemua suspek dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.

“Dalam serbuan itu, polis turut merampas 23 buah telefon bimbit, tiga unit komputer riba yang dipercayai digunakan untuk memperdayakan mangsa,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan hari ini.

Turut dirampas sembilan buku catitan yang mengandungi nombor telefon mangsa serta skrip percakapan sebagai pegawai perhubungan syarikat peminjam untuk memperdayakan mangsa.

Ketika diminta mengulas modus operandi sindiket, Mohd Nor berkata, sindiket mengiklankan pinjaman mereka menerusi media sosial Facebook serta aplikasi WhatsApp.

“Susulan itu, sindiket akan berhubung dengan mangsa sebelum memperdayakan mereka dengan meminta bayar yuran pemprosesan.

“Kesemua suspek dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut termasuk mengenal pasti perancangan utama sindiket.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan 420 akta sama,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Nor turut menyeru orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya melihat sebarang kegiatan mencurigakan di kawasan kediaman. – MalaysiaGazette