Enam pemimpin parti politik yang menyertai Himpunan Barang Naik yang diadakan di Masjid Jamek Kampung Baru bersama peguam keluar dari balai polis selepas memberi keterangan di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur, Foto MUHD NA'IM, 04 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Seramai sembilan pemimpin parti politik pembangkang yang terlibat dalam Himpunan Bantahan Kenaikan Harga Barang yang diadakan berhampiran Masjid Jamek Kampung Baru, di sini, pada Jumaat lalu selesai diambil keterangan polis setakat ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, enam daripada mereka selesai dirakam keterangan pada hari ini manakala tiga lagi direkodkan keterangan pada Sabtu dan Ahad lalu.

“Setakat ini sembilan pemimpin parti politik dihubungi dan diarahkan untuk hadir ke IPD Dang Wangi bagi urusan mengambil keterangan,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Tiga pemimpin politik pembangkang yang selesai diambil keterangan pada Sabtu dan Ahad lalu adalah Ahli Parlimen Shah Alam merangkap Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad; Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali dan Ketua Pemuda Amanah, Mohd Hasbie Muda.

Exco Amanah Selangor, Izham Hashim (tengah) bersama 5 pemimpin parti politik yang menyertai Himpunan Barang Naik yang diadakan Masjid Jamek Kampung Baru menunjukkan notis panggilan siasatan selepas memberi keterangan di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur, Foto MUHD NA’IM, 04 JULAI 2022.

Tambah beliau, Ahli Parlimen Lumut yang juga Setiausaha Agong Amanah, Datuk Mohd Hatta Md Ramli diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk dirakam keterangan pada pagi Rabu ini.

“Ia sekaligus menjadikan kesemuanya seramai 10 pemimpin pembangkang terlibat dalam proses siasatan tentang himpunan itu untuk membantu siasatan polis,” ujarnya.

Menurut Noor Dellhan, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana berhimpun tanpa kebenaran permit di tempat awam.

Sementara itu, enam pemimpin parti politik yang dipanggil untuk dirakam keterangan pada hari ini tiba di IPD Dang Wangi pada jam 9.50 pagi bersama peguam, Ahmad Fadhli Umar Aminolhuda dari Tetuan Azmi & Associates.

Kesemua enam pemimpin itu termasuk dua pemimpin wanita telah masuk ke premis IPD Dang Wangi jam 10.10 pagi dan mengambil masa selama 50 minit untuk dirakan keterangan.

Mereka yang hadir pada hari ini ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir merangkap Ahli Jawatankuasa Amanah, Muhammad Faiz Fadzil; ADUN Pandan Indah merangkap Pengerusi Amanah Selangor, Izham Hashim dan bekas Ketua Menteri Melaka merangkap Pengerusi Amanah Melaka, Adly Zahari.

Turut hadir memberi keterangan adalah ADUN Templer Park, Mohd Sany Hamzan; Ketua Wanita Muda Amanah, Nurthaqaffah Nordin dan wakil Angkatan Wanita Amanah (Awan), Anfal Saari.

Sementara itu, Ahmad Fadli memaklumkan kesemua anak guamnya hadir pada hari ini seperti yang dikehendaki polis untuk dirakam keterangan.

“Kesemua mereka memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis sepanjang proses merakam keterangan di dalam balai polis sebentar tadi dan kita memahami bahawa pihak polis hanya menjalankan tugas mereka berlunaskan undang-undang,” katanya. -MalaysiaGazette