Sebahagian daripada para pengunjung hadir di Hari Terbuka UTeM mendapatkan maklumat program pengajian dan sesi konsultasi daripada petugas UTeM.

MELAKA – Hari Terbuka Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang telah dianjurkan sempena Minggu TVET Negara baru-baru ini terima sambutan menggalakkan daripada pelbagai pihak terutamanya calon-calon yang ingin menyambung pengajian.

Naib Canselor UTeM, Profesor Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, objektif Hari Terbuka UTeM 2022 ini adalah sebagai salah satu platform bagi merapatkan hubungan UTeM dengan masyarakat dengan memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat sendiri kampus yang tersergam indah ini.

Selain daripada penganjuran promosi di dalam UTeM, orang ramai boleh mengenali dan mendapatkan maklumat berkenaan UTeM melalui program Jom Masuk IPT Fasa 2 yang telah bermula daripada 4 Jun sehingga 25 Jun 2022.

Beliau mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada anak-anak dan ibu bapa di atas kecemerlangan keputusan SPM yang baru diumumkan pada 16 Jun yang lepas.

Hari Terbuka UTeM anjuran Pejabat Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UTeM diadakan pada 20 hingga 22 Jun lalu, menyediakan pelbagai aktiviti dalam memperkenalkan program akademik UTeM kepada masyarakat dan mendapatkan pelbagai maklumat berkenaan dengan UTeM terutama kursus-kursus yang ditawarkan.

Antara aktiviti yang disediakan kepada pengunjung Hari Terbuka UTeM adalah pameran dan pertunjukan inovasi, informasi berkenaan program akademik yang ditawarkan, taklimat kerjaya dan sesi konsultasi, semakan syarat kelayakan dan semakan UPU.

Hari Terbuka UTeM menerima sambutan dan kunjungan dari pelbagai pengunjung yang hadir, antaranya adalah pelajar-pelajar dan wakil daripada Politeknik, Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), Kolej Vokasional, Kolej Matrikulasi dan sekolah-sekolah sekitar negeri Melaka serta ibu bapa bersama anak lepasan SPM. – MalaysiaGazette