Datuk Takiyudin Hassan

SEPANG – Kerajaan Persekutuan menyeru supaya negeri-negeri yang masih belum memuktamadkan persempadanan negeri agar segera berbuat demikian.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, melalui penentuan sempadan yang jelas, kerajaan-kerajaan negeri akan dapat merancang dan melaksanakan projek-projek pembangunan di kawasan sempadan masing-masing dengan lebih teratur dan bersepadu.

“Sebagai contoh, pembukaan kawasan-kawasan perindustrian dan perbandaran di sempadan antara negeri Selangor dan Negeri Sembilan seperti di Sepang, Semenyih, Nilai dan sebagainya akan dapat dirancang dan dioptimumkan sehingga ke had jajaran sempadan yang telah dimuktamadkan.

“Kita juga dapat melihat pembangunan di sekitar kawasan sempadan Selangor dan Negeri Sembilan telah berjaya mewujudkan bandar-bandar baharu seperti Bandar Baru Nilai, Bandar Baru Salak Tinggi, Bandar Baru Enstek, bandar Bukit Mahkota dan Bandar Seri Putra.

“Dengan adanya pembangunan di kawasan sempadan juga dijangka dapat merancakkan lagi kegiatan ekonomi setempat yang turut menyumbang kepada peluang pekerjaan dan taraf hidup rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Sempadan Darat Antara Negeri Selangor dan Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Hadir sama pada Majlis itu Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Menurut Takiyuddin, penentuan jajaran sempadan yang jelas akan membolehkan aktiviti penguatkuasaan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dijalankan dengan berkesan terutamanya dalam mencegah aktiviti pencerobohan tanah dan penerokaan sumber secara tidak sah.

Katanya lagi, kejayaan memuktamadkan jajaran sempadan darat antara Selangor dan Negeri Sembilan tidak akan dapat dicapai tanpa komitmen dan kesungguhan yang tinggi daripada pasukan kerja ukur Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) yang melaksanakan kerja-kerja penandaan dan pengukuran di lapangan.

Untuk rekod, perjanjian sempadan antara Selangor dan Negeri Sembilan telah menyelesaikan jajaran sempadan darat antara kedua-dua negeri dengan jarak sepanjang 111.9 kilometer yang bermula dari titik pertemuan sempadan tiga negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang yang berakhir di muara Sungai Sepang.

Titik akhir tersebut akan dijadikan sebagai titik permulaan bagi kedua-dua negeri untuk memulakan rundingan penentuan sempadan maritim hingga ke laut wilayah negeri.

Penentuan jajaran sempadan yang jelas antara negeri juga akan membolehkan aktiviti penguatkuasaan oleh PBT dijalankan dengan berkesan bagi mencegah berlakunya pencerobohan tanah dan penerokaan sumber secara tidak sah.

Sementara itu pada sidang media selepas majlis berkenaan Takiyuddin memaklumkan, sebanyak lapan negeri dengan 12 sektor masih lagi belum memuktamadkan persempadanan berkenaan.

Negeri-negeri tersebut dan sektornya itu adalah Perak – Kelantan, Selangor – Putrajaya, Selangor – Kuala Lumpur, Perak – Selangor, Kedah – Pulau Pinang, Negeri Sembilan – Johor, Pahang – Kelantan, Perak Pulau Pinang dan Perak – Kedah. – MalaysiaGazette