Anggota penguatkuasa KPDNHEP memeriksa minyak masak yang dirampas dalam serbuan yang dilakukan awal bulan ini.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menumpaskan penjualan minyak masak secara dalam talian melalui platform e-dagang terkenal di Petaling Jaya dan Puchong pada Jumaat lalu.

Pengarah Penguatkuasanya, Azman Adam berkata, serbuan di Petaling Jaya merupakan sebuah rumah sewa yang dijadikan stor penyimpanan dan pembungkusan barang-barang runcit untuk dijual secara dalam talian.

Manakala di Puchong serbuan dilakukan di rumah kedai yang dijadikan sebagai stor penyimpanan dan pembungkusan.

Azman berkata, serbuan ke atas di Petaling Jaya menemukan 255 kilogram (kg) minyak masak paket (1 kg) bersubsidi bersama beberapa jenis barangan runcit lain disimpan di dalam rumah tersebut sebelum dijual secara dalam talian.

Jelas beliau, premis tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 daripada Pengawal Bekalan untuk berurus niaga dengan barang kawalan berjadual itu.

“Premis yang diserbu di Petaling Jaya merupakan sebuah premis kediaman yang disewa untuk dijadikan stor penyimpanan dan pembungkusan barang-barang runcit yang dijual secara dalam talian manakala premis yang diserbu di Puchong adalah premis rumah kedai yang juga dijadikan stor penyimpanan dan pembungkusan barang-barang runcit yang dijual secara dalam talian,” katanya menerusi kenyataan.

Sehubungan itu katanya, tindakan diambil terhadap premis berkenaan di bawah Seksyen 16 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu menjual barang kawalan tanpa lesen dan Subperaturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Dalam masa yang sama, seorang lelaki warga tempatan yang mengaku sebagai pembantu/pekerja premis terbabit telah direkodkan keterangan bagi membantu siasatan.

“Sejumlah 255 kg minyak masak paket 1 kg telah disita bersama beberapa dokumen perniagaan lain untuk siasatan lanjut. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM 637.50,” tambahnya.

Sementara itu beliau berkata, pasukannya menyita 27 unit minyak masak botol 1 kg, 2 kg dan 3 kg beberapa dokumen perniagaan lain bernilai RM858 dalam serbuan yang dilakukan di Puchong.

Menurutnya, premis tersebut mengemukakan lesen runcit di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang berbeza daripada alamat penyimpanan barang-barang kawalan terbabit.

Turut ditahan untuk membantu siasatan, seorang wanita yang merupakan penyelia premis berkenaan.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu menyimpan apa-apa barang yang dikawal selain daripada premis yang dilesenkan.

Dalam masa yang sama, syarikat yang memiliki premis-premis berkenaan juga disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613).

“Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima belas (15) tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit yang mana yang lebih tinggi,” tambah beliau. – MalaysiaGazette