Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin (tengah) bersama dengan Timbalan Naib canselor Hal Ehwal Pelajar UTeM, Prof Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif (kiri) dan Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTeM, Muhammad Amri Hakimi Alias.

KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mengambil langkah proaktif bagi mengawal kenaikan harga makanan dan minuman di dalam kampus dengan memperkenalkan strategi dan langkah kawalan efektif.

Naib canselor UTeM, Prof. Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, antara langkah yang diambil pihak UTeM mengawal kenaikan harga makanan adalah dengan memperkenalkan konsep Menu Keluarga UTeM buat pelajarnya.

Jelasnya Menu Keluarga UTeM adalah menu makanan berat dan berkhasiat merangkumi set nasi berlauk bersama air yang diperkenalkan menerusi 2 variasi iaitu dengan kadaran set harga RM3 dan harga RM4.

“Bagi memantapkan kawalan harga makanan dan terus cakna kebajikan pelajar UTeM yang kebanyakannya dalam golongan B40 maka kami turut akan melaksanakan sistem pemberian bantuan makanan kepada pelajar B40.

“Ini semua adalah bagi memastikan para pelajar UTeM tidak terbeban walau dunia dan negara sedang menghadapi gelombang kenaikan harga barangan,” ujarnya kepada pihak media baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Massila menyatakan kebajikan pihak pengusaha kafetaria turut dipelihara kerana mereka berhadapan langsung dengan kenaikan harga barangan namun tetap perlu mengekalkan harga makanan pada kadar sedia ada.

Justeru pihak UTeM turut bersetuju membantu meringankan bebanan kos pengusaha kafetaria UTeM dengan memberikan pengecualian sewa bulanan bermula dari bulan Julai sehingga Disember 2022.

Katanya, situasi menang menang ini adalah kerana pihak UTeM bersama pelajar-pelajarnya serta pengusaha kafetaria adalah di bawah persekitaran keluarga UTeM yang sentiasa prihatin dan berganding erat antara satu sama lain.

Sementara itu, Timbalan Naib canselor Hal Ehwal Pelajar UTeM, Prof. Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif berkata, selain daripada strategi dan langkah kawalan efektif itu, pihaknya turut memperhebatkan bantuan lain seperti Food Bank Siswa UTeM B40 kepada pelajar yang tinggal di Kolej Kediaman dalam dan luar demi kebajikan dan kesejahteraan pelajar.

Menurut Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UTeM, Muhd. Amri Hakimi Alias menyokong usaha yang dilaksanakan oleh pihak UTeM dan MPP akan sentiasa memantau dan bekerjasama dalam memastikan kawalan harga makanan yang efektif, kualiti dan berpatutan lalu ini membuktikan suara mahasiswa diambil perhatian serius oleh pihak universiti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast