Tiga dilaporkan hilang dipercayai hanyut dibawa arus dalam insiden kepala air dan banjir di Baling Julai lalu.

BALING – Tiga sekeluarga dilaporkan hilang dihanyutkan arus dalam kejadian kepala air dan banjir di Kampung Iboi di sini.

Mereka ialah Salmah Mat Akib, 53; anaknya Mohd Khairul Ikhwan, 14, dan menantu Nurul Hanis Abu Hassan, 23.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pesara berusia 71 tahun yang memaklumkan tiga ahli keluarganya dilaporkan hilang dioercayai dibawa arus banjir.

Longgokan kayu yang dipercayai dibawa arus banjir.

Jelas beliau, pengadu mendakwa mereka turut hanyut dalam insiden tersebut.

“Setakat ini, tiga sekeluarga itu dilaporkan hilang dihanyutkan kepala air.

“Tiada mangsa ditemui buat masa ini dan operasi mencari dan menyelamat giat dijalankan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Difahamkan sehingga kini, bomba telah memindahkan 55 mangsa yang terperangkap ke tempat selamat dan operasi pemindahan masih dijalankan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor turut dilaporkan melawati kawasan bencana tersebut serta melawat mangsa yang ditempatkan di PPS.

Muhammmad Sanusi melawat mangsa banjir yang ditempatkan di PPS.

Semalam, hujan lebat selama tiga jam sejak 2 petang telah menyebabkan berlakunya insiden kepala air serta banjir membabitkan  11 kampung di daerah ini.

Antara kampung terlibat ialah Kampung Bendang Padang, Kampung Iboi, Kampung Padang Ampang, Kampung Tok Saba, Kampung Hangus, Kampung Pisang, Kampung Sadik, Kampung Kitang, Kampung Tanjung, Kampung Lata Celak dan Kampung Badak Ampang. – MalaysiaGazette