BALING – Seramai 334 mangsa banjir dari sembilan kampung di sini dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 2 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Baling Supt Shamsudin Mamat berkata, setakat ini, sebanyak 85 rumah dilaporkan terjejas ekoran bencana yang berlaku kira-kira 4 petang semalam itu.
“Selain itu, seramai 1,008 pelajar di Sekolah Menengah Agama Yayasan Al-Khairiah yang turut terkesan dalam bencana itu berada di sekolah tersebut ketika kejadian dan berada dalam keadaan baik.
Beliau berkata, operasi pemindahan penduduk yang terjejas berjalan lancar dengan penglibatan pelbagai agensi selain penduduk kampung yang turut membantu.
Selain itu katanya, semua keperluan termasuk makanan, selimut dan bantal turut disediakan sebaik mungkin oleh agensi berkaitan dan pihak lain yang menghulurkan bantuan di pusat-pusat pemindahan.
“Kita akan kemas kini mengenai kedudukan mangsa-mangsa, sebab ramai mangsa yang minta dengan kita untuk mereka balik ke rumah kerana air sudah surut dan mereka mahu membersihkan rumah dan tengok harta benda mereka.
“Tapi kita akan lihat dulu dari segi keselamatan sebelum saya bagi keputusan untuk benarkan mereka balik. Sebab mengikut ramalan cuaca esok (hari ini) juga akan hujan. Jadi kita akan bincang dalam mesyuarat MKN negeri dan akan putuskan selepas itu,” katanya. – BERNAMA