Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Pahang bersetuju menambah bantuan segera banjir, membaiki rumah dan pemulihan perniagaan kecil kepada mangsa bencana alam itu di negeri itu.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya bersetuju menambah bantuan segera banjir kepada RM3,000 berbanding RM1,000 pada tahun ini menerusi peruntukan yang ada.

Tambah beliau, kerajaan negeri  turut menaikkan bantuan membaiki rumah yang rosak akibat banjir daripada RM2,500 kepada RM5,000 dan bantuan pemulihan perniagaan kecil juga  dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM5,000.

“Maknanya apabila berlaku bencana kita sudah ada peruntukan, dan ini adalah satu usaha yang kita buat, kita tambah baik daripada sebelum ini.

“Kerajaan juga telah bersetuju menambahbaik bekalan makanan awal kepada mangsa-mangsa banjir dengan menyediakan 50,000 makanan ready to eat dengan jumlah peruntukan RM600,000,” katanya.

“Selain itu, kerajaan Pahang telah memperuntukkan hampir RM20 juta bagi menambah baik persiapan menghadapi bencana banjir yang melanda negeri ini pada setiap tahun,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian sejurus mempengerusikan Mesyuarat Kumpulan Wang Amanah Jawatankuasa Malapetaka Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang hari ini

Turut hadir Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang,  Zulkhairi Zainol Abidin.

Peruntukan tersebut merangkumi persiapan pangkalan hadapan berjumlah RM4.8 juta, Tabung Malapetaka Daerah (RM1 juta), perolehan darurat (RM8.5 juta) dan perolehan bencana (RM3.5 juta).

Dalam pada itu kerajaan negeri juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM47 juta bagi projek-projek persediaan banjir memandangkan berlaku dua kali dalam setahun di negeri ini.

“Justeru pihak kerajaan negeri mengambil keputusan mungkin ada beberapa perkara perlu ambil tindakan awal bagi sebagai usaha menangani dan menghadapi bencana,” ujarnya. – MalaysiaGazette