Sebahagian penuntut FST UKM yang menyertai kempen It's Time for Our River di Taman Rekreasi Sungai Langat, Bangi, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Etika Sdn Bhd (Etika), salah satu pengeluar minuman halal terkemuka di Malaysia memperkenalkan kempen It’s Time for Our River, demi mengukuhkan lagi komitmen ke arah kelestarian sempena Hari Alam Sekitar Sedunia 2022.

It’s Time for Our River adalah hasil kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), untuk mempromosikan rawatan kualiti air sungai melalui pameran yang menggunakan pendekatan biologi, sambil mendidik ahli komuniti mengenai kepentingan pemeliharaan sumber air kita.

Etika bekerja rapat dengan Fakulti Sains dan Teknologi (FST) UKM melalui program pembersihan sungai pertama mereka yang diadakan baru-baru ini di Taman Rekreasi Sungai Langat, Bangi.

“Sejak kebelakangan ini kita dapat melihat kemerosotan kualiti air akibat individu yang tidak bertanggungjawab dan ini telah menimbulkan kebimbangan yang semakin meningkat kepada persekitaran dan bagaimana untuk menghargai sungai kita.

”Oleh itu, ahli fakulti FST memainkan peranan mereka untuk berkongsi pengetahuan dan kepakaran mereka tentang bagaimana kita dapat mencapai objektif ini,” kata Santharuban Thurai Sundaram, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Etika (Malaysia, Singapura dan Brunei).

Dengan kehadiran lebih daripada 300 peserta membantu membersihkan sungai, Etika gembira dengan sambutan emberangsangkan dan ini membuktikan bahawa masih ada individu yang ambil peduli tentang alam sekitar.

Tambah beliau program ini juga merupakan sebahagian daripada usaha Etika untuk menyumbang dalam pemelihara dan memanjangkan sumber planet yang akan mendorong kesan positif dan pengurusan sumber yang lebih baik.

Dengan pelan hala tuju yang telah dirangka oleh Etika untuk masa depan yang mampan dan berdaya tahan, syarikat ini bertekad untuk memenuhi Matlamat
Kelestarian Etika melalui inisiatif projek lain seperti pemasangan panel solar, pembelian Tenaga Hijau dari grid, kitar semula sisa tumbuhan kepada baja untuk mengurangkan tapak pelupusan dan usaha lain yang akan mengurangkan pelepasan karbon dan menjimatkan air. – MalaysiaGazette