Longgokan kayu yang dipercayai dibawa arus banjir di Baling Kedah.

KUALA LUMPUR – Kerajaan bertindak pantas menyalurkan bantuan secara terus kepada semua mangsa-mangsa banjir di Baling, Kedah.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, empat jenis bantuan segera telah direncanakan antaranya Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah di kawasan bencana berkenaan.

“Saya telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali untuk menyelaraskan bantuan segera kepada semua mangsa yang terlibat.

“Bantuan-bantuan awal kepada setiap KIR tersebut ialah antaranya Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1, 000, Bantuan Barang Keperluan Asas sebanyak RM2,500,  Bantuan Barangan Elektrik sebanyak RM500,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail Sabri membuat kenyataan itu dalam lawatan rasmi ke Turki atas jemputan Presidennya, Recep Tayyip Erdoğan.

Turut disalurkan bantuan pembaikan rumah kepada semua mangsa banjir di daerah tersebut.

Dalam pada itu, kerajaan turut menyalurkan bantuan kepada keluarga tiga waris yang telah meninggal dunia sebanyak RM10,000 seorang, katanya.

“Kesemua bantuan awal ini melibatkan peruntukan kewangan sebanyak RM500,000. Kebanyakan rumah yang terkesan dengan musibah ini mengalami kerosakan dan sebanyak 25 buah rumah telah musnah sama sekali,” jelasnya lagi.

Ismail Sabri turut mengarahkan semua agensi kerajaan yang terlibat untuk mengenal pasti kerosakan dan pembaikan yang perlu dilakukan untuk memastikan mangsa-mangsa tragedi  ada tempat berteduh yang selesa selepas ini.

Bantuan-bantuan lain, katanya, akan disusuli dengan segera termasuklah kerja-kerja pembersihan kawasan dan projek-projek tebatan banjir yang kritikal.

“Kerajaan Persekutuan terus komited untuk menyediakan peruntukan yang sewajarnya bagi perkara ini. Saya akan memastikan kebajikan dan keselamatan mangsa-mangsa ini akan diberi perhatian yang sepenuhnya dengan kerjasama erat daripada semua pihak baik dari Kerajaan Persekutuan mahu pun kerajaan negeri,” jelas Ismail Sabri lagi.

Untuk rekod, banjir lumpur di Baling yang berlaku semalam mengakibatkan beratus-ratus penduduk dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan sementara dengan lebih 80 rumah terjejas serta meragut tiga nyawa, dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang. – MalaysiaGazette