Muhammad Azizah Azhar maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan terseret sejauh 25 meter sebelum dirempuh sebuah kereta di Jalan Bachang Pasir Putih, Melaka pagi tadi.

MELAKA – Seorang kontraktor syarikat telekomunikasi maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan terseret sejauh 25 meter di Jalan Bachang Pasir Putih di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata, dalam kejadian 8.30 pagi itu, mangsa Muhammad Azizah Azhar, 32, datang dari arah Lebuh AMJ Bachang menghala ke arah lampu isyarat Bachang/ Jalan Tun Fatimah.

Ketika melalui sebuah premis menjual alat pertukangan, motosikal mangsa jenis Yamaha LC135 tiba-tiba hilang kawalan sebelum terjatuh dan terseret sejauh 25 meter.

“Pada masa sama, datang sebuah kereta jenis Perodua Alza dari arah bertentangan yang tidak sempat mengelak dan merempuh mangsa.

“Akibat nahas itu, mangsa maut di tempat kejadian manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Tambahnya, mayat di bawa ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette.