Profesor Dr Md Nasir Ibrahim

KUALA LUMPUR – Prestasi memberangsangkan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan terbitan Studio Kembara Sdn. Bhd. dengan kutipan pecah panggung mencecah RM43.9 juta dalam 12 hari memberi sinar harapan kepada industri perfileman negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Prof Dr Md Nasir Ibrahim berkata, kejayaan filem arahan Syamsul Yusof itu membuktikan kekuatan jenama filem tempatan meraih kepercayaan penonton ke pawagam setelah berhadapan cabaran impak pandemik Covid-19.

“Ini juga membuktikan kekuatan cerita tempatan yang diinspirasikan daripada sejarah dan warisan diterima penonton serta mempunyai potensi besar untuk diangkat ke layar perak.

“Pencapaian filem ini amat menggembirakan dan menyuntik semangat warga Finas untuk lebih giat membantu penggiat industri perfileman tempatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, Filem Mat Kilau merupakan penerima sokongan dan galakan daripada kerajaan, iaitu Dana Kandungan Digital (DKD) dengan jumlah geran Dana Produksi sebanyak RM1.5 juta dan Dana Pemasaran sebanyak RM300,000.

“Manakala proses suntingannya telah dilakukan menggunakan studio yang dibangunkan oleh Finas, iaitu Studio Mixstage, Kompleks Studio Merdeka,” katanya.

Finas juga komited dalam membantu meringankan beban penerbit melalui Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) sejak 1 Julai 2011 selepas menggantikan Pemberian Galakan Pungutan Duti Hiburan.

“Insentif ini ihsan kerajaan dalam membantu penerbit dan pengeluar filem tempatan yang perlu membayar cukai hiburan sebanyak 25 peratus kepada Kerajaan Negeri, yang sudah tidak lagi disalurkan semula kepada Finas sejak 2000.

“Finas meneruskan insentif ini kerana menyedari kepentingan industri yang banyak menyumbang kepada ekonomi negara.

“Berdasarkan hasrat dasar ITFC ini, filem seperti Mat Kilau berpeluang menerima pulangan sebanyak RM500,000 kerana kutipan tiket melebihi RM6 juta,” katanya.

Sementara itu, Finas bakal mengadakan pertemuan dengan pihak pempamer dan penerbit filem tempatan pada 7 Julai ini bagi melihat semula agihan keuntungan jualan tiket filem antara kedua-dua pihak agar mencapai keputusan dan garis panduan yang lebih jelas dan adil.

“Insentif ini membuktikan dasar dan program kerajaan disalurkan menerusi Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) dan Finas sebagai agensi pelaksana, merupakan dasar yang tepat dan dapat membantu penerbit filem tempatan.

“Penggiat industri yang menerima peruntukan melalui FINAS perlu mematuhi perjanjian kontrak dan memberi kredit sewajarnya kepada pihak kerajaan, K-KOMM dan Finas.

“Finas berharap filem Mat Kilau dapat memberi galakan kepada para penerbit meningkatkan penghasilan karya berkualiti yang mampu menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette