Dr Taufiq bin Fawzan Al-Rabiah, Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi menyerahkan cenderahti kepada Idris Ahmad. Foto Official : Lembaga Tabung Haji

MAKKAH – Bukan sekali tetapi lebih daripada 10 kali nama Malaysia bergema bersama pujian serta penghargaan ketika berlangsungnya Simposium Perdana Haji di Makkah pada Isnin.

Majlis yang menghimpun pemimpin dari pelbagai negara Islam itu turut menjadi saksi pada pengiktirafan terhadap Lembaga Tabung Haji (TH) dalam membentuk sistem teratur dan terkini pada setiap kali musim haji.

Lebih membanggakan ia dinyatakan sendiri oleh Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Taufiq Fawzan Al-Rabiah ketika berucap serta memberi kenyataan eksklusif kepada pihak media dari tanah air.

Beliau berkata, adalah wajar negara lain mempelajari strategi yang dilaksanakan Malaysia dalam mendidik jemaah haji, terutama dari segi pelaksanaan dan pemahaman rukun Islam kelima itu.

“Kami menghargai apa yang kerajaan Malaysia lakukan untuk memberi jemaah latihan, persediaan, pendidikan…ia menjadikan ibadah haji lancar dan selamat.

“Kami mengharapkan (lebih banyak) kerjasama dengan kerajaan Malaysia. Kami berbesar hati dengan kerjasama yang telah kita lakukan bersama dan saya merancang untuk melawat Malaysia tidak lama lagi, insya-Allah,” katanya selepas pertemuan khas bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.

Turut hadir Pengerusi TH Tan Sri Azman Mokhtar, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Seri Amrin Awaluddin dan Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Selain itu, Taufiq Fawzan berkata persediaan awal dengan melaksanakan kursus secara berfokus telah membantu jemaah haji Malaysia melakukan ibadah haji dengan mudah meskipun terpaksa berdepan dengan cabaran, terutama ketika dalam ihram.

“Latihan yang diberikan kerajaan Malaysia harus diikuti oleh negara lain…kami menghargai impak besar yang diberikan jemaah Malaysia. Latihan yang betul menjadikan mereka tahu apa yang perlu dilakukan dan ke mana ingin pergi. Ia satu contoh yang baik,” katanya.

Sementara itu,  Setiausaha Agung International Islamic Fiqh Academy Prof Datuk Dr Koutoub Moustapha berkata, Malaysia mempunyai pengalaman yang sangat hebat dalam mengendalikan jemaah haji berbanding negara lain.

Beliau yang pernah menetap di Kuala Lumpur selama 16 tahun ketika menjadi pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), menegaskan bahawa sudah sampai masanya negara lain mempelajari cara Malaysia mendidik jemaah haji sebelum tiba ke Tanah Suci.

“Tahniah Malaysia atas pencapaian ini. Banyak negara Islam yang ingin belajar daripada pengalaman Tabung Haji. Ia yang terbaik di dunia,” katanya yang juga merupakan seorang daripada panel pada simposium tersebut. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast