Pengarah KPDNHEP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin ketika membuat pemantauan di Kilang Pemprosesan Pembungkusan dan Pengedar Minyak Masak di Golden Palm Oil Sdn Bhd Cheras, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 05 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur memberi jaminan akan melaksanakan  pemeriksaan di semua premis pembungkusan semula minyak masak paket yang beroperasi secara berkala.

Pengarahnya, Ariffin Samsudin berkata, penguat kuasa KPDNHEP menjalankan pemeriksaan di 16 buah premis pembungkusan semula di ibu negara setiap hari bagi mendapatkan status sebenar jumlah minyak masak paket yang diterima dan kemudian dijual semula.

Malah pihaknya juga menjalankan risikan untuk memastikan minyak yang dijual kepada pemborong tidak diseleweng, katanya.

“KPDNHEP tidak akan pernah diam, kami akan buat risikan dan intipan ikut pembeli minyak dari pembungkus. Kita ada anggota yang buat samaran yang mengekori mereka untuk tahu sama ada dijual semula atau tidak.

“Apa yang saya nak tekankan, KPDNHEP yang ada unit bekalan, kita akan kawal selia premis pembungkusan semula minyak pada setiap hari. Pemantauan memang kita buat kalau di Kuala Lumpur ini saya berani beri jaminan sebab setiap hari ada pemantauan premis pembungkusan semula,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pemeriksaan keberadaan bekalan minyak di salah satu premis pembungkusan semula yang terletak di Bandar Tun Razak hari ini.

Pemeriksaan berkenaan selaras dengan pengumuman pelaksanaan operasi pengauditan dan pemutihan minyak masak paket bersubsidi.

Pengauditan berkenaan meliputi 22 pengeluar dan 305 premis pembungkusan semula di seluruh negara.

Mengulas lanjut,  Ariffin berkata, selain daripada pengauditan dan pemeriksaan, KPDNHEP juga menerima laporan harian daripada premis pembungkusan semula yang memperincikan aliran keluar masuk minyak masak bersubsidi untuk kegunaan jualan di pasaran.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast