Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak

KUALA LUMPUR – Kenyataan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) bahawa audit mendapati ada cubaan menggodam sistem tetapi tidak berjaya mengalihkan pandangan pihaknya gagal mengangkat ketelusan.

Bekas Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador berkata, kebanyakan bantahan tidak pun mempersoalkan sama ada sistem digodam atau tidak tetapi mengenai kebarangkalian berlaku manipulasi oleh pihak dalaman ke atas keputusan yang diterima.

“Permintaan untuk kekhuatiran yang berbangkit mengenai perkara ini diatasi dengan mudah dan telus adalah untuk satu kiraan semula semua undi, baik fizikal mahupun atas talian, diadakan di hadapan saksi terdiri dari calon, wakil mereka dan pihak ketiga.

“Permohonan untuk ketelusan ini langsung tidak diendahkan malah kami dapati dari sumber dalaman JPP sendiri bahawa audit forensik ini tidak menyentuh pun undi-undi atas talian yang menimbulkan kontroversi ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malah menurut Farhash, Pengerusi JPP, Dr. Zaliha Mustafa sendiri kini dilihat berkompromi untuk melindungi proses-proses yang tidak telus ini, maka tidak perlulah beliau berbicara soal integriti kerana ia tidak wujud dalam konteks pemilihan parti ini dan permohonan untuk ketelusan pun ditolak mentah-mentah.

“Terlalu banyak persoalan yang tidak terjawab dan sebelum kita berhadapan dengan rakyat dalam siri kempen PRU-15, mungkin ada baiknya presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim meyakinkan anggota-anggota bahawa ini masih sebuah parti yang menegakkan ketelusan, Keadilan dan integriti,” tegasnya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

JPP PKR dedah ada pihak cuba godam keputusan pemilihan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast