Sidang media penerimaan 300 ahli baru oleh Angkatan Bersatu Anak Muda Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Pahang di Temerloh malam tadi.

TEMERLOH –  Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Pahang menerima 300 penyertaan ahli baru di Temerloh.

Ketua Armada Bersatu Negeri Pahang, Nurul Qomar Abdol Talib berkata, penyertaan baru itu rata-ratanya dalam kalangan anak muda yang sepakat memilih parti tersebut.

“Kami begitu berbesar hati dengan perkhabaran gembira ini yang jelas menunjukkan Bersatu dan juga Perikatan Nasional (PN) khususnya semakin menjadi pilihan masyarakat di Pahang.

“Apatah lagi dalam kalangan anak muda yang tampaknya meyakini kebolehan PN dalam menyatakan khidmat dan bakti kepada anak negeri Mat Kilau ini,” kata pada majlis penyerahan penyertaan ahli baru itu di Pondok Patin, Kampung Lubuk Kawah dekat sinii malam tadi.

Majlis penyerahan borang ahli turut dihadiri oleh Ketua Penerangan Armada Nasional Bersatu, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir

Justeru Nurul Qomar berkata, penerimaan sejumlah besar kemasukan keahlian Bersatu yang telah digerakkan sejak kebelakangan ini menerusi kepimpinan Bersatu Bahagian Temerloh dan sebahagian Jawatankuasa Armada Temerloh bersama-sama Armada Negeri Pahang.

“Armada Bersatu Pahang akan terus bersemarak memahat iltizam mengorak langkah dalam berbakti dan membawa suara rakyat khususnya di negeri Tok Gajah,” katanya.- MalaysiaGazette