Tuminah (tiga dari kiri) meluangkan masa hampir satu jam bertanyakan khabar kepada salah seorang ahli keluarga warga emas yang maut ditikam di Kampung Paya Luboh, Tangga Batu, Melaka hari ini.

MELAKA – Kerajaan Melaka sedia mengaturkan sesi kaunseling bagi memulihkan emosi ahli keluarga warga emas yang dipercayai menjadi mangsa bunuh anak sendiri di Kampung Paya Luboh, Tangga Batu petang semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi yang bersedih dengan kejadian tersebut berkata, apa yang berlaku mengejutkan semua pihak.

“Kejadian ini memang di luar jangka dan di peringkat Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN (JAPERUN) kita akan beri bantuan sewajarnya terutama bagi mententeramkan emosi ahli keluarga.

“Dalam keadaan begini selain ahli keluarga, peranan jiran dan pemimpin masyarakat amat diperlukan untuk memulihkan semula semangat mereka yang masih terkejut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas meluangkan masa hampir sejam melawat keluarga mangsa bunuh dipercayai dilakukan anaknya sendiri di kampung berkenaan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Tuminah berkata, kejadian itu juga membuktikan masyarakat hari ini masih mengamalkan sikap ambil peduli sesama jiran sehingga kes tersebut dapat diatasi dengan baik.

Tuminah (kiri) meluangkan bertanyakan khabar kepada salah seorang ahli keluarga warga emas yang maut ditikam di Kampung Paya Luboh, Tangga Batu, Melaka hari ini.

“Semalam semasa kejadian saya ada turun padang dan jiran adalah pihak paling awal memberi bantuan kepada keluarga ini sebelum segera menghubungi polis.

“Dalam keadaan begini, peranan jiran amat penting untuk sama-sama membantu masyarakat,” katanya.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan seorang ibu tunggal, Rozizah Md. Dom, 63 maut ditikam anak sulungnya berusia 38 tahun dengan dua kesan tikaman dileher dalam kejadian di rumah mereka kira-kira pukul 3 petang.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah dilaporkan berkata, suspek ditahan di rumahnya selepas polis mendapat aduan daripada penduduk kampung.

Tambahnya, suspek bertindak demikian menggunakan pisau sepanjang 26 sentimeter selepas terdengar satu bisikan mengatakan ibunya menyembah berhala.

Menurutnya, selepas menikam ibunya, lelaki berkenaan yang mempunyai rekod kesihatan mental dan dua kesalahan dadah sempat menghulurkan pisau berkenaan kepada ibunya yang kemudian bertindak membuang senjata tajam itu melalui tingkap.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Sempat minta maaf sehari sebelum dibunuh