Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin
Datuk Seri Sharkar Shamsudin. foto AFFAN FAUZI, 11 JANUARI 2019

KUANTAN – Pemberian Bantuan Banjir berjumlah RM2,500 untuk mereka yang terjejas teruk dalam bencana bah di Temerloh awal tahun ini akan selesai diagihkan sebelum 31 Ogos 2022.

Ahli Dewan Undangan (ADUN) Lanchang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin memberi jaminan tersebut selepas membuat permohonan semula peruntukan yang didapati tidak mencukupi sebelum ini.

Temerloh dan Bentong merupakan antara daerah paling teruk berhadapan dengan banjir di Pahang.

Lebih 2,000 mangsa dilaporkan terjejas melibatkan kerugian harta benda, selain kehilangan ahli keluarga.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan inisiatif bantuan banjir meliputi sumbangan pembelian barangan keperluan berjumlah RM2,500, diskaun baik pulih kenderaan, rebat pembelian barangan elektrik RM500 dan bantuan baik pulih rumah antara RM5,000 hingga RM15,000 bagi kerosakan akibat bencana berkenaan.

Mohd Sharkar berharap berita baik itu dapat meringankan bebanan mangsa-mangsa banjir, khususnya di Temerloh yang telah menunggu lama.- MalaysiaGazette