Zainol Samah

MELAKA – Lelaki yang disyaki membunuh ibunya dengan menikam leher warga emas itu di rumahnya di Kampung Paya Luboh, Tangga Batu petang semalam didapati positif syabu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, keputusan itu diperolehi menerusi hasil ujian air kencing terhadap suspek lelaki berusia 38 tahun itu jam 1.30 pagi tadi.

“Keputusan ujian saringan air kencing jam 1.30 pagi tadi mendapati suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine atau syabu.

“Bagaimanapun, tiada sebarang dadah ditemui di rumah suspek yang tinggal bersama ibunya selepas kematian suami bulan lalu,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Tambahnya, jenazah ketika ini sedang melalui proses bedah siasat di Hospital Melaka yang dijangka selesai petang ini.

Difahamkan, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tangga Batu, di sini, petang ini.

Semalam media melaporkan seorang ibu tunggal, Rozizah Md Dom, 63, ditikam anak sulungnya dengan dua kesan tikaman dileher dalam kejadian di rumah mereka kira-kira jam 3 petang.

Zainol semalam dilaporkan berkata, suspek ditahan di rumahnya selepas polis mendapat aduan daripada penduduk kampung pada jam 3.05 petang sebelum bergegas ke lokasi.

Tambahnya, suspek bertindak demikian menggunakan pisau sepanjang 26 sentimeter selepas terdengar satu bisikan mengatakan ibunya menyembah berhala.

Menurutnya, selepas menikam ibunya, lelaki berkenaan yang mempunyai rekod kesihatan mental dan dua kesalahan dadah sebelum ini sempat menghulurkan pisau berkenaan kepada ibunya yang kemudian bertindak membuang senjata tajam itu melalui tingkap.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – MalaysiaGazette