KUANTAN – Seramai 120 sukarelawan Pahang berlepas dari sini malam tadi bagi membantu mangsa banjir di Baling, Kedah dengan menaiki bas dan rombongan kenderaan pacuan empat roda.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kagum dengan penyertaan sukarelawan dalam masa yang singkat sahaja berjaya mengumpulkan satu pasukan untuk menyumbang khidmat bakti kepada mangsa bencana.
Menurutnya, kerajaan negeri memperuntukkan RM60,000 bagi Misi Bantuan Banjir ke Kedah untuk membantu mangsa terjejas itu.
Jelasnya, usaha membantu rakyat Kedah yang terkesan akibat bencana satu usaha murni yang dituntut dalam agama dan sebagai membalas budi baik rakyat negeri itu yang banyak membantu Pahang ketika ditimpa musibah yanag sama tempoh hari.
“Sesungguhnya, kerajaan Pahang amat bersimpati dengan nasib yang menimpa penduduk di Baling sehingga mengakibatkan tiga nyawa terkorban selain seramai 334 mangsa terpaksa dipindahkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Bantuan yang dihulurkan oleh kerajaan Pahang ini adalah sebagai menghargai sokongan kerajaan Kedah yang telah menghantar pasukan bantuan ke Pahang yang dilanda banjir pada akhir tahun lalu,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian sejurus sesi flag off dan pelepasan rombongan para sukarelawan Pahang ke Baling yang diketuai Timbalan Pengerusi Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP), Mohd Farid Mohd Nor di perkarangan Wisma Sri Pahang di sini malam tadi.
Ujar beliau, misi kali ini memfokuskan bagi membantu mangsa yang terjejas dan melakukan kerja-kerja pembersihan terutamanya sebagai persiapan menjelang sambutan Hari Raya Aidil Adha.
“Misi bantuan kemanusiaan ke Baling ini melibatkan penyertaan lebih 120 orang sukarelawan merangkumi kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, sukarelawan MTSP, Skuad Bencana Pahang dan lain-lain NGO,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN :
Skuad Musaadah salur bantuan kepada mangsa banjir Baling
Tandak takungan pecah mungkin punca kepala air di Baling – MB
Jenazah tiga mangsa banjir di Baling selamat dikebumikan
Wan Rosdy berharap dan mendoakan semoga semua mangsa terlibat tabah dan sabar menghadapi dugaan yang berat terutama apabila kehilangan insan tersayang serta kerosakan harta benda.
Terdahulu insiden banjir dan fenomena kepala air yang berlaku pada Isnin lalu di Baling telah mengakibatkan tiga nyawa terkorban manakala beratus-ratus penduduk ditempatkan di beberapa PPS dan banyak rumah penduduk terjejas. – MalaysiaGazette