Penggunaan vape sama sekali tidak dibenarkan di Singapura. Gambar hiasan

KUANTAN – Kerajaan disaran mengadakan rundingan dengan pelbagai pihak sebelum memperkenalkan polisi yang tidak realistik dalam usaha mengurangkan bilangan perokok di negara ini.

Presiden Persatuan Hotel, Restoran dan Kafe Kuantan, Hung Pang Jum berkata, kerajaan harus lebih memberi fokus membanteras kegiatan rokok seludup bukan memperkenalkan dasar tembakau baharu seperti melarang penjualan rokok, produk vape serta larangan mempamer rokok di premis jualan.

““Walaupun Kementerian Kesihatan (KKM) mempunyai niat murni untuk mengurangkan bilangan orang yang merokok atau menggunakan produk vape, tumpuan yang diberikan adalah salah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pang Jum berkata demikian mengulas laporan mengenai cadangan KKM kepada produk rokok tidak boleh dipamerkan di premis jualan, pelaksanaan pembungkusan standard pada produk rokok dan larangan penjualan rokok dan vape untuk individu yang dilahirkan selepas 2005.

Hung Pang Jum

“Ia umpama satu lagi mimpi ngeri seperti MySejahtera. Bukan semua individu bersedia untuk berkongsi data peribadi mereka,” jelasnya.

Menurutnya, polisi itu tidak akan berkesan dan tidak mampu menghalang pelanggan daripada terus merokok sebaliknya ia bakal mewujudkan lebih banyak kerumitan untuk peniaga.

Jika dasar itu dilaksanakan, beliau berkata, perokok tidak akan berhenti merokok sebaliknya akan tertumpu kepada produk seludup.

Apabila ia berlaku, sumber pendapatan peniaga daripada produk yang sah akan terus menyusut.

Beliau juga menegaskan, ramai pengusaha premis jualan tidak mampu mengeluarkan kos untuk mematuhi cadangan baharu itu berikutan kos pematuhan larangan mempamer rokok akhirnya akan ditanggung pemilik perniagaan.

Untuk rekod, Mac lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, undang-undang baharu untuk melarang aktiviti merokok dan pemilikan sebarang produk tembakau termasuk rokok elektronik bagi mereka yang lahir selepas 2005 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Julai ini.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Banteras rokok haram untuk tambah pendapatan negara – Wan Saiful