Rafizi penjilat elaun nelayan fahmi PMQT artis kerajaan
Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Seorang pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencadangkan agar kerajaan membanteras habis-habisan kebanjiran rokok haram dalam negara.

Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, langkah itu merupakan salah satu daripada mekanisme untuk menambah pendapatan negara agar kelestarian subsidi dan bantuan diperlukan rakyat dapat dipulangkan semula.

Ketua Penerangan Bersatu itu memberitahu, ia antara
antara cadangan quick win untuk menambahkan pendapatan daripada cukai rokok sah.

“Negara masa ini rugi RM5 bilion ke RM6 bilion setahun disebabkan rokok haram yang tidak dikenakan cukai. RM5 bilion ke RM6 bilion ini satu jumlah besar yang boleh diguna untuk macam-macam perkara oleh kerajaan.

“Kalau dikawal dengan efektif, ia jadi serampang dua mata. Kita boleh jaga kesihatan rakyat dengan menghapuskan rokok haram dan kita dapat tambah pendapatan negara melalui cukai rokok sah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Justeru Wan Saiful menggesa supaya penguatkuasaan turut perlu diperketatkan.

Katanya, sempadan negara terlalu poros sehingga pada tahun 2020, 64 peratus rokok di pasaran adalah rokok haram.

“Tetapi pada Mac 2022, kadar rokok haram turun ke 59 peratus selepas Kementerian Kewangan mengetatkan kawal selia transhipment rokok serta mengaktifkan multi agency task force untuk mengawal kebanjiran rokok haram.

“Dan kadar cukai dikutip juga meningkat hasil usaha ini. Kadar 59 peratus rokok haram memang masih tinggi, tapi setidaknya dah ada penurunan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Wan Saiful menegaskan, kebanjiran rokok haram akibat kesilapan kerajaan pada 2015 semasa Datuk Seri Najib Razak menjadi Menteri Kewangan dan Perdana Menteri ketika itu.

Katanya, Najib telah menaikkan cukai terhadap rokok sah terlalu tinggi sebanyak 36 peratus.

“Akibatnya, harga rokok sah meningkat mendadak tapi pendapatan kerajaan tak naik pun sebab perokok berpindah ke rokok haram yang tak dapat dicukai.

“Bila ambil langkah silap kepada rokok sah, terus Malaysia jadi negara yang mempunyai rokok haram paling tinggi di dunia,” tambahnya.

Beliau berkata, jika kerajaan mahu menyekat rokok haram dan mahu menjaga kesihatan rakyat, jangan ulang kesilapan itu.

“Saya dengar kerajaan ada cita-cita nak kenakan sekatan baru pula kepada rokok sah melalui Rang Undang-Undang Kawalan Tembakau.

“Usaha menurunkan bilangan perokok adalah baik dan mesti disokong tapi mengenakan sekatan tambahan baru kepada rokok sah hanya mengulangi kesilapan dulu,” katanya.

Wan Saiful menambah, jika perkara itu berlaku, tindakan tersebut hanya akan membuatkan sindiket penyeludup gembira sebab mereka boleh membawa masuk lebih banyak rokok haram yang murah.

Sebaliknya, beliau mencadangkan kerajaan mengaktifkan kembali multi agency task force dan pastikan penguatkuasaan dijalankan sepenuhnya.

“Itu akan dapat sekat rokok haram yang seterusnya akan mengurangkan bilangan keseluruhan rokok dalam negara. Perokok pun akan fikir banyak kali sebab rokok haram yang murah sudah tidak ada.

“Kita sekaligus jaga kesihatan rakyat, turunkan bilangan perokok dan dapatkan balik cukai RM5 bilion yang sekarang ini hilang,” katanya. – MalaysiaGazette