Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia, Aedy Fadly Ramli membuat pemeriksaan ke atas kenderaan yang berada lebuh raya dalam satu Ops Khas Hari Raya Aidiladha di Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 06 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuk menyita kenderaan pengguna jalan raya yang didapati memandu dengan lesen dan cukai jalan tamat tempoh.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, tindakan akan diambil semasa Ops Khas Hari Raya Aidiladha (HRAA) yang bermula malam tadi.

Operasi itu dilakukan bagi memantau situasi keselamatan jalan raya berikutan orang ramai pulang ke kampung halaman menyambut musim perayaan.

Aedy Fadly berkata, seperti yang dijangka, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) hampir dua juta kenderaan akan berada di atas jalan raya dalam tempoh perayaan itu bermula 7 Julai hingga 12 Julai ini.

“Walaupun cuti perayaan tidak panjang tetapi cuti itu jatuh pada hujung minggu jadi kita jangkakan pertambahan kenderaan, sebab itu kita memilih untuk adakan Ops Khas ini pada 7 Julai hingga 8 Julai serta 12 Julai dan 13 Julai ini.

“Operasi Khas HRAA ini akan menyasarkan tiga aspek di atas jalan raya seperti memantau, mengesan dan mengambil tindakan ke atas kenderaan perkhidmatan awam termasuk pemandu yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Ops ini juga akan memfokuskan terhadap sembilan kesalahan utama iaitu memandu melebihi had laju, tidak mematuhi isyarat lalu lintas, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak memakai tali pinggang atau topi keledar, membawa lebih muatan dan membawa muatan berbahaya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai Op Khas Hari Raya Aidiladha 2022 di Plaza Tol Sungai Besi di sini malam tadi.

Tambahnya, Ops Khas HRAA ini juga diadakan bagi memastikan keselamatan perjalanan pengguna jalan raya dan melancarkan trafik bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya semasa musim perayaan.

Ops Khas HRAA hari pertama itu melibatkan hampir 200 anggota JPJ dengan kerjasama PLUS, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Imigresen (JIM).

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas 1,317 kenderaan yang bermula jam 7 hingga 11 malam tadi, sebanyak 441 kesalahan dikesan termasuk 14 kenderaan disita membabitkan sembilan motosika serta lima kereta.

Antara yang ditahan oleh pihak Agensi Anti Dadah Malaysia (AADK) dalam satu Ops Khas Hari Raya Aidiladha di Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 06 JULAI 2022.

“Bagi pihak AADK, hasil pemeriksaan terhadap 23 individu, seorang lelaki penunggang motosikal berusia 30-an ditahan selepas didapati positif dadah jenis syabu manakala seorang lagi lelaki pemandu lori didapati positif dadah jenis tetrahydrocannabinol,” ujarnya.

Manakala JIM yang memeriksa seramai 23 pemandu warga asing pula melaporkan tiada tangkapan dibuat.

Dalam pada itu Aedy Fadly menasihatkan pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan dan tidak melakukan kesalahan supaya mereka selamat sampai ke destinasi yang dituju. – MalaysiaGazette