Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Majlis Pimpinan Pusat (MPP) menerima keputusan rasmi Pemilihan 2022 Keadilan seperti mana yang diumumkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR pada Selasa lalu.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat khas malam semalam selepas MPP diberi taklimat penuh oleh firma audit forensik berhubung dapatan audit lengkap bagi Pemilihan 2022.

“Berdasarkan perbincangan dan pembentangan penuh malam tadi, MPP mengambil maklum bahawa sistem ADIL yang dibangunkan adalah suatu sistem dengan integriti yang utuh.

“Walaupun begitu, firma audit forensik memperakui wujud beberapa kelemahan pada peringkat pelaksanaan sistem tersebut.

“MPP menerima penjelasan penuh firma audit forensik bahawa langkah-langkah bersesuaian untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan tersebut telah diambil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, JPP memberi jaminan kepada MPP akan menyelesaikan aduan dan memberikan maklum balas bertulis kepada 1,800 individu yang mengemukakan aduan.

“MPP mengambil maklum sebahagian daripada 1,800 aduan yang diterima masih dalam penelitian JPP. MPP turut menerima penjelasan bahawa bagi kategori aduan yang terkait isu disiplin, hal tersebut akan dirujuk kepada Lembaga Disiplin,” katanya.

Sementara itu, tarikh asal Kongres KEADILAN ke-16 bagi Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada 24 Jun serta Kongres Nasional pada 25 dan 26 Jun telah diubah.

“Ia memberi ruang serta masa secukupnya kepada JPP dan firma audit forensik menyelesaikan aduan-aduan diterima dan bukan untuk melengahkan pengumuman keputusan pemilihan.

“Kongres Wanita dan AMK akan diteruskan pada 15 Julai dan Kongres Nasional pada 16 dan 17 Julai di IDEAL Convention Centre (IDCC) Shah Alam.

“Kesemua perwakilan termasuk dari Sabah dan Sarawak akan hadir secara fizikal,” katanya lagi. – MalaysiaGazette