PDRM fokus aliran kelancaran trafik semasa orang ramai pulang beraya di kampung halaman bersempena sambutan Aidiladha 10 Julai ini. Foto MUHD NA'IM, 06 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat Operasi Lancar untuk memberi fokus menangani masalah aliran trafik di lebuh raya sempena sambutan Hari Raya Aidiladha pada 10 Julai ini.

Setiausaha PDRM, Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata operasi berkenaan akan dilaksanakan selama tiga hari iaitu bermula dari 8 sehingga 11 Julai ini.

“Pendekatan itu dikuatkuatkuasakan ekoran pertambahan pergerakan orang ramai untuk pulang ke kampung dan kembali semula ke ibu kota selepas berhari raya.

“PDRM melalui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman telah mengenal pasti kawasan-kawasan hotspot yang dijangka berlaku kesesakan bersempena rakyat pulang beraya di kampung halaman nanti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkara berkaitan, Noorsiah berkata, pihaknya akan mengaturkan seluruh kekuatan petugas di lapangan termasuk melibatkan elemen keanggotaan balai, kereta peronda (MPV) polis serta Unit Rondaan Bermotosikal (URB) secara sistematik bagi memastikan aliran trafik di lebuh raya, jalan-jalan negeri serta bandar bergerak lancar dan terkawal.

“Selain itu, rondaan cegah kemalangan dan omnipresent di lokasi turut dijalankan termasuk pendekatan pemantauan melalui dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) bagi mengesan kesalahan pengguna lebuhraya menggunakan lorong kecemasan.

“Oleh demikian, pengguna jalan raya disarankan untuk merancang perjalanan dan peka dengan informasi aliran trafik semasa.

“Laksanakan peranan anda sebagai pengguna jalan raya yang berhemah dan patuhi segala peraturan lalu lintas dengan tidak memotong barisan, menyalahgunakan lorong kecemasan atau memarkir kenderaan sehingga menghalang laluan.

“Melalui Op Lancar kali ini, PDRM komited untuk memastikan keselamatan dan keselesaan orang ramai sepanjang perjalanan terjamin bagi merayakan Aidiladha dalam suasana kekeluargaan yang sejahtera,” tegasnya.- MalaysiaGazette