Seorang lelaki warga asing disoal kerana memandu lori tanpa lesen memandu yang sah yang tular di media sosial.

KUALA LUMPUR – Polis menolak dakwaan video tular kononnya anggota polis tidak mengenakan tindakan terhadap seorang lelaki warga asing dan meminta suapan kerana memandu lori tanpa lesen.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, dakwaan berkenaan tidak benar sebaliknya tindakan saman telah dikeluarkan terhadap pemandu berkenaan.

“Pada 5 Julai lalu, Ops Motosikal Perintah Gerakan 33/22  di Jalan Taman Mas telah dilaksanakan dan pemandu lori warga asing itu ditahan ketika operasi.

“Nombor siri saman dikeluarkan adalah Pol 257 AG875372 iaitu kesalahan tiada lesen memandu dan pemandu lori itu merupakan lelaki Bangladesh berusia 28 tahun yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Kamarul berkata demikian setelah menerima satu video menerusi aplikasi WhatsApp yang dirakam oleh seorang pemilik akaun media sosial yang mendakwa pihaknya tidak mengambil tindakan terhadap pemandu terbabit.

“Siasatan mendapati cukai jalan lori yang berwarna merah itu masih belum luput dan polis akan mengambil tindakan terhadap syarikat lori berkenaan kerana membenarkan kenderaan dipandu warga asing tanpa lesen memandu yang sah,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau juga menyangkal dakwaan anggotanya meminta wang suapan sebanyak RM300 namun siasatan lanjut akan dilakukan pihaknya.

Terdahulu, tular di media sosial memaparkan seorang lelaki tempatan menyoal siasat pemandu lori warga asing yang didakwa dikenakan tindakan oleh polis walaupun didapati memandu tanpa lesen sah. – MalaysiaGazette