Kemalangan yang berlaku juga melibatkan sebuah treler, sebuah van, sebuah bas dan sembilan kereta di Tambak Johor hari ini.- Gambar media sosial.

JOHOR BAHRU – Pemandu yang terlibat dalam kemalangan menyebabkan sebuah treler membawa habuk kayu merempuh 12 kenderaan lain di atas Tambak Johor di sini pagi tadi telah ditahan polis bagi membantu siasatan.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat.

Menurutnya, polis akan menyiasat dengan terperinci punca sebenar kejadian itu termasuk mengesan ujian air kencing pemandu berkenaan.

Bagaimanapun, jelasnya, siasatan awal mendapati kejadian pukul 9.25 pagi itu berpunca daripada masalah makenikal ketika treler terbabit dari arah Johor Bahru menghala ke Woodlands Singapura.

Kemalangan yang berlaku juga melibatkan sebuah treler, sebuah van, sebuah bas dan sembilan kereta.

“Enam daripada kenderaan ini bernombor pendaftaran asing manakala lagi enam kenderaan bernombor pendaftaran tempatan.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, kesemua kenderaan mengalami kerosakan kecil,” ujarnya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Kamarul Zaman, pemandu treler lelaki berusia 34 tahun ditahan bagi siasatan di bawah seksyen 40 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam kenyataan di laman media sosialnya memaklumkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan segera menjalankan siasatan  berhubung insiden yang sama.

Menurutnya, tindakan tegas akan dikenakan kepada pemandu atau syarikat terbabit jika didapati gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Ini termasuklah seperti menggantung lesen GDL pemandu lori, menggantung permit syarikat atau lain-lain hukuman yang termaktub dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

“Manakala pihak MIROS pula akan menyiasat dari aspek teknikal untuk mencari punca kemalangan tersebut berlaku.

“Saya amat memandang serius kes-kes seperti ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak. Mana-mana pihak yang didapati bersalah akan dikenakan hukuman tegas kerana ia membabitkan keselamatan dan nyawa pengguna jalan raya,” katanya.

Ka Siong turut meminta orang ramai yang berada di tempat kejadian semasa kemalangan  menyerahkan bukti-bukti seperti rakaman video jika ada bagi membantu siasatan.

Video  berdurasi 35 saat yang tular memaparkan sebuah treler melanggar beberapa buah kenderaan dihadapanya di Tambak Johor pagi tadi. – MalaysiaGazette