Enam lelaki dan dua wanita termasuk seorang perempuan asing dicekup mendalangi kegiatan memproses dan membungkus pelbagai dadah di rumah kondominium sekitar ibu negara untuk pasaran Klang ditumpaskan polis dalam serbuan semalam. Ihsan IPD Dang Wangi.

KUALA LUMPUR – Taktik sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah yang menjadikan kondominium sebagai makmal memproses dan membungkus dadah terbongkar dengan penahanan lapan individu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, bertindak atas maklumat risikan, pada jam 7 pagi semalam sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Dang Wangi telah membuat serbuan di sebuah kondominium di Jalan Law Yew Swee, Off Jalan P. Ramlee, di sini.

Enam lelaki dan dua wanita termasuk seorang perempuan warga asing dicekup kerana disyaki mendalangi kegiatan memproses dan membungkus pelbagai dadah di rumah kondominium sekitar ibu negara untuk pasaran Lembah Klang ditumpaskan polis dalam serbuan semalam. Ihsan IPD Dang Wangi.

Katanya, dalam serbuan tersebut polis menahan seorang lelaki dan seorang perempuan warga tempatan disyaki pasangan kekasih dan pemeriksaan lanjut di kediaman mereka membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah bersama peralatan dan bahan memproses dadah.

“Hasil soal siasat yang dijalankan ke kedua-dua suspek berkenaan dan berpandukan maklumat mereka,pihak polis telah melancarkan empat serbuan secara berasingan di sekitar kawasan pentadbiran Dang Wangi yang berjaya membawa kepada penahanan lima lelaki dan seorang perempuan warga asing.

“Hasil pemeriksaan ke atas polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah iaitu methamphetamine seberat 796 gram, MDMA (382 gram), serbuk MDMA (353 gram), cecair methamphetamine (220.2ml), ketamin (211.62 gram) dan cecair MDMA (25ml) dengan nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM191,693,” katanya dalam kenyataan kejayaan itu hari ini.

Pelbagai jenis dadah dirampas di kondominium di ibu negara. Ihsan IPD Dang Wangi.

Tambah beliau, kesemua individu yang ditangkap itu adalah berusia dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun.

Menurutnya, kesemua suspek dipercayai terlibat secara langsung dalam kegiatan memproses dan membungkus dadah untuk tujuan pemasaran di sekitar Lembah Klang dan sindiket itu dipercayai mula aktif sejak setahun lalu.

Ujar beliau, dalam serbuan sama polis menyita dua buah kenderaan yang dipercayai digunakan untuk menyeludup dan mengedar dadah.

“Saringan awal air kencing yang dijalankan oleh pihak polis ke atas semua suspek mendapati empat orang suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine manakala empat lagi adalah negatif,” ujarnya.

“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 14 Julai ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk membantu siasatan lanjut.

Barangan yang digunakan untuk memproses dadah. Ihsan IPD Dang Wangi.

“Saringan awal air kencing yang dijalankan oleh pihak polis ke atas semua suspek mendapati empat orang suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine manakala empat lagi adalah negatif,” ujarnya.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 14 Julai ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk membantu siasatan. – MalaysiaGazette