drunk driver Perodua Bezza SKVE hit and run motorcyclists driving against traffic assault

PASIR MAS – Polis menahan tiga pekerja ladang warga Bangladesh susulan penemuan satu anak pokok ganja setinggi 40 sentimeter (cm) yang ditanam dalam polibeg di luar rumah kongsi mereka di Lojing, Gua Musang, dekat sini, Selasa lepas.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, ketiga-tiga lelaki berusia 23, 24 dan 34 tahun yang menghuni sebuah rumah kongsi ladang sayur-sayuran di Lojing, Gua Musang, ditahan oleh sepasukan anggota polis yang menjalankan Op Tapis.

“Selain penemuan anak pokok ganja itu, hasil siasatan di dalam rumah, polis menemukan 5.3 gram daun kering disyaki ganja disembunyikan dalam lipatan kertas surat khabar,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Kursus Tempur Jarak Dekat Siri 1/2022 di Lapang Sasar Bukit Pak Junuh, di sini, hari ini.

Beliau berkata, ketiga-tiga lelaki warga Bangladesh yang juga positif dadah itu kini direman tujuh hari untuk siasatan lanjut, dan kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Muhamad Zaki berkata, polis berjaya merampas dua tan daun ketum selepas menahan sebuah lori dipandu seorang lelaki berusia 49 tahun semasa sekatan jalan raya di Jalan Gerik-Jeli pada 5.52 pagi semalam.

“Pemeriksaan di bahagian belakang lori telah menemukan bungkusan plastik hitam berisi gulungan plastik cerah berisi daun ketum. Jumlah keseluruhan daun ketum yang ditemukan adalah sebanyak 2.030 kilogram (kg) bernilai RM60,000. Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui destinasi daun ketum itu akan dihantar,” katanya.

Beliau berkata kes akan disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – Bernama