Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan sumbagan RM626,000 pada Majlis Perasmian Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2022, Fasa 2, bagi Kluster Nelayan di Auditorium Sultan Haji Ahmad Shah (ADAM), Kuantan, Pahang.

KUANTAN – Seramai 3,133 orang nelayan di Pahang telah menerima RM200 setiap seorang dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM626,000 oleh kerajaan negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri amat menghargai golongan nelayan dan pengorbanan wira-wira tidak didendang ini yang sanggup berjuang di tengah lautan mencari rezeki.

“Bantuan yang diberikan ini adalah sebagai penghargaan atas pengorbanan golongan nelayan yang merupakan tulang belakang sektor perikanan yang menyumbang kepada ekonomi negara dan kehidupan rakyat.

Wan Rosdy Wan Ismail

“Di atas jerih perjuangan mereka di lautan, kita menikmati hasilnya di daratan,” katanya ketika berucap semasa Majlis Perasmian Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2022, Fasa 2, bagi Kluster Nelayan di Auditorium Sultan Haji Ahmad Shah (ADAM), di sini, hari ini.

Sementara itu Wan Rosdy turut menyampaikan sumbangan bernilai RM10,000 kepada setiap Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) bagi daerah Kuantan, Pekan, dan Rompin.

Manakala sebanyak RM20,000  pula diberi kepada Persatuan Nelayan Negeri Pahang.

Wan Rosdy menyampaikan replika sumbangan Elaun Sara Hidup Nelayan sempena Majlis Perasmian Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2022, Fasa 2, bagi Kluster Nelayan di Kuantan

Menerusi Belanjawan Negeri Pahang beliau mengumumkan pada Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberi bantuan makanan ternakan ikan kepada 100 pengusaha ternakan ikan dalam sangkar yang terjejas disebabkan pandemik Covid-19 di seluruh 10 daerah di negeri ini.

Katanya, pemberian makanan itu dijangka dapat menampung kos operasi penternak untuk sepusingan ternakan bagi satu petak sangkar dengan sasaran pengeluaran sebanyak 600 kilogram hasil ternakan.

“Sebanyak 10 bag makanan jenis starter dan 50 bag makanan jenis grower dapat dibekalkan kepada seorang penternak dengan nilai RM5,000 bagi tempoh lapan bulan ternakan ikan patin, yang melibatkan implikasi kewangan keseluruhan berjumlah RM500,000.

ARTIKEL BERKAITAN :

Berbelanja jangan boros, berjimat jangan sampai kedekut – MB Pahang

Bantuan wang kepada mangsa banjir Pahang ditambah – MB

“Kerajaan Negeri juga telah bersetuju untuk meluluskan pemberian bantuan in-kind kepada kira-kira 380 orang nelayan darat seluruh Pahang yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Jelasnya, pemberian melibatkan peralatan seperti jala, jaring dan peralatan keselamatan dengan nilai RM1,000 untuk seorang penerima yang melibatkan implikasi kewangan keseluruhan berjumlah RM380,000

Wan rosdy berkata, pelbagai usaha digerakkan bagi membantu golongan nelayan tidak kiralah sama ada nelayan laut atau pun nelayan sungai atau penternak ikan sangkar. – MalaysiaGazette