ALOR GAJAH – Dua beranak ditemukan rentung dalam kejadian kebakaran di sebuah rumah di Kampung Cherana Puteh, di sini awal pagi tadi.
Mangsa dalam kejadian kira-kira jam 1.50 pagi itu dikenali Allahudin Abdul Hamid, 51 yang juga merupakan bapa tunggal dan anak lelakinya Muhamad Badrol, 5.
Komander Operasi dan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah, Pegawai Bomba Kanan II Ramli Yusof berkata, pihaknya menerima laporan kebakaran pada jam 1.56 pagi sebelum sebuah jentera bersama sembilan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah separuh kekal berkeluasan 20 x 50 kaki persegi sudah 70 peratus terbakar dan hasil maklumat awam terdapat dua mangsa di dalamnya.
“Pasukan bomba kemudian berjaya menemukan dua mangsa dalam keadaan rentung iaitu seorang lelaki di dalam bilik air dan anak lelakinya berusia lima tahun di dalam bilik tidur rumah setingkat itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini pagi tadi.
Tambahnya, mayat kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebaik operasi tamat pada jam 5.19 pagi tadi. – MalaysiaGazette