Longgokan kayu yang dipercayai dibawa arus banjir di Baling Kedah.

ALOR SETAR – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah mengesan satu kes positif COVID-19 dalam kalangan penduduk di Baling yang terkesan akibat fenomena kepala air dan bencana banjir Isnin lepas.

Pengarah Kesihatan negeri Dr Othman Warijo berkata, mangsa yang positif kategori dua itu telah diasingkan di wad isolasi Hospital Baling.

Beliau berkata tiga kontak rapat yang dikenal pasti telah diasingkan di pusat pemindahan sementara (PPS) khas, dan menerusi ujian RTK-Ag yang dilakukan, ketiga-tiga mereka yang tidak bergenjala didapati negatif.

“JKN turut menjalankan pemantauan terhadap penyakit berjangkit dalam kalangan penduduk yang terlibat terutamanya COVID-19, penyakit seakan Influenza (ILI), leptospirosis, cirit-birit dan penyakit bawaan makanan dan air,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pasukan pengawasan kesihatan persekitaran juga terus menjalankan pemeriksaan dan pengawasan berkala yang melibatkan pencegahan lipas, lalat dan tikus serta nyamuk di tiga PPS yang dibuka di daerah itu.

“Pemeriksaan ini bagi memastikan kebersihan persekitaran berada pada tahap terbaik untuk kesihatan dan keselesaan mangsa dan para petugas di sana. Sehingga pukul 8 malam tadi, tiga PPS masih dibuka iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai, Sekolah Menengah Agama (SMA) Yayasan Al-Khairiah dan Surau An-Nur.

“Bagi memastikan tahap kesihatan penduduk di semua PPS terjamin, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Baling meneruskan perkhidmatan klinik perubatan statik melibatkan tiga pasukan perubatan dengan kekuatan 12 anggota,” katanya.

Beliau berkata, klinik itu beroperasi 24 jam di PPS SMK Jerai manakala dua lagi klinik beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 5 petang di PPS SMA Yayasan Al-Khairiah dan PPS Surau An-Nur.

Sementara itu Dr Othman berkata pihaknya juga telah menggerakkan Pasukan Perkhidmatan Sokongan Kesihatan Mental dan Psikososial yang membuat penilaian respons psikososial di lapangan serta memberi bantuan kecemasan psikososial kepada mangsa banjir yang terkesan.

“Pasukan ini akan terus memantau tahap kesihatan mental mangsa dan petugas dari semasa ke semasa dan menasihatkan mereka yang mengalami masalah seperti stres, keresahan dan kemurungan ekoran bencana untuk hadir ke klinik berdekatan bagi mendapatkan bantuan sokongan. – BERNAMA