Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUALA SELANGOR – Peruntukan kerajaan untuk perbelanjaan subsidi, termasuk ayam dan petrol, lebih besar daripada pembangunan yang boleh mencecah hampir RM80 bilion pada tahun ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia membuktikan perbelanjaan untuk subsidi tidak pernah ditarik balik malah jumlahnya semakin meningkat.

“Peruntukan subsidi tahun ini adalah RM77 bilion dan saya rasa boleh mencecah RM80 bilion.

“Peruntukan untuk Kementerian Pendidikan RM52.6 bilion, ini termasuk dalam perbelanjaan pembangunan kita RM75 bilion.

“Tak pernah dalam sejarah Malaysia di mana Kerajaan Persekutuan memperuntukkan begitu banyak jumlah subsidi.

“Kalau ada yang mengatakan subsidi itu ditarik balik, tak benar. Subsidi kita lebih besar daripada belanja pembangunan,” katanya di One Plaza, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau berucap merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Khidmat Cemerlang Warga Kerja Pendidikan Daerah Kuala Selangor.

Hadir sama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor, Datuk Jahaya Ibrahim.

Menurut Zafrul, walaupun harga ayam kini melonjak tinggi dan dikenakan harga siling, namun kerajaan masih meneruskan subsidi untuk sumber protein itu.

“Betul apa yang disebut oleh Tan Sri Noh tentang peruntukan (ayam) sampai bulan enam (Jun) sebenarnya lebih RM700 juta.

“Tapi Perdana Menteri umum untuk lanjutkan lagi walaupun harga ayam pada tahap harga siling RM9.40.

“Subsidi yang kita teruskan, jumlahnya telah meningkat kepada RM1.1 bilion untuk subsidi ayam sahaja.

“Satu lagi minyak, saya baru luluskan bulan lepas, subsidi untuk minyak petrol, minyak dan sebagainya, RM5 bilion untuk satu bulan, jadi jumlahnya begitu besar,” katanya.

Kata beliau, kementeriannya mempunyai formula tertentu untuk meneruskan program subsidi kepada rakyat termasuk elektrik walaupun umum mengetahui berlaku kenaikan harga arang batu ketika ini.

“Kita ada formula yang menetapkan harga Tenaga Nasional sepatutnya caj. Subsidi elektrik akan mencecah hampir RM6 bilion.

“Tetapi kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri bersama jemaah menteri Kabinet meluluskan supaya diteruskan lagi tarif subsidi untuk TNB kepada semua.

“Semua subsidi ini untuk membantu rakyat dan oleh itu kadar inflasi kita adalah kadar inflasi yang terendah di dalam dunia pada tahap 2.8 peratus,” katanya. – MalaysiaGazette