Suspek dipercayai melakukan kerja pembersihan kapal-kapal lama di kawasan berhampiran jambatan lebuhraya Senai - Desaru

OHOR BAHRU – Insiden pembunuhan melibatkan seorang suami yang mengelar isteri dan bayinya berusia tiga bulan dalam di Kampung Bakar Batu, di sini Selasa lalu didakwa ada kaitan dengan unsur mistik.

Menurut cerita yang dikongsikan jiran, suspek, Amir Adam, 25, mula mengalami gangguan selepas bekerja di tempat baharu sebagai pencuci kapal di Jambatan Lebuhraya Senai Desaru, Kota Tinggi.

Wanita yang enggan dikenali itu memberitahu, suspek difahamkan terlibat dengan kerja-kerja mencuci kapal tangki lama yang dibiarkan berhampiran jambatan berkenaan sejak kira-kira sebulan lalu.

“Dia (suspek) sebelum ini kerja sebagai pencuci bangunan, tetapi akak dapat tahu kerja baharu dia mencuci sebuah kapal yang telah beberapa tahun tersadai lamanya.

“Dia (suspek) berubah sikap selepas bekerja di sana, ada masa dia seolah-olah macam kena sampuk, sehingga beraksi seperti seekor harimau,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru Selasa lalu bagi mendapatkan perintah reman.

Dakwanya, sebelum malam kejadian itu berlaku, jiran terdekat ada terdengar pertengkaran di kediaman suspek namun enggan mengambil tahu kerana menyangka ia hanya perselisihan biasa pasangan suami isteri.

“Pagi sebelum kejadian juga, ada jiran yang mendengar suara pertengkaran, tetapi tidak jelas apa yang diperkatakan masa mereka bergaduh,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Siasatan polis mendapati suspek bebas daripada pengaruh dadah atau sebarang bahan terlarang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat dihubungi berkata, motif kejadian berkenaan masih dalam siasatan.

“Buat waktu ini, kita masih menyiasat motif pembunuhan kerana walaupun suspek memberikan kerjasama, dia lebih banyak berdiam diri.

“Kita sedang tunggu arahan daripada mahkamah terlebih dahulu sebelum melakukan ujian mental ke atasnya,” katanya.

Selasa lalu, suspek ditahan polis selepas dipercayai mengelar isterinya, Hajar Nursyahirin Rosman, 26, dan juga bayi lelaki mereka, Hans Mohd. Thakif, dua bulan di kediaman mereka di Kampung Bakar Batu kira-kira pukul 12 tengah hari.

Anak sulung daripada tiga beradik itu ditahan di Permas Jaya tidak lama selepas tular beberapa rakaman video yang memaparkan dia menunggang motosikal dalam keadaan berbogel di media sosial.- MalaysiaGazette